Tidak ramai yang percaya, malah ada yang memperlekehkan kemampuan Liverpool untuk bangkit daripada kekalahan 3-0 kepada Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Nou Camp pada 1 Mei lalu menyaksikan bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez, dan Lionel Messi bergilir-gilir merobek gawang Liverpool sebanyak 3 kali.

Di atas kertas, sememangnya mustahil untuk menumbangkan Barcelona selepas tewas 3-0 dalam separuh akhir pertama. Maka, berduyun-duyun penyokong pasukan musuh Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris menghentam dengan ejekan provokasi terhadap penyokong The Reds.

Empat gol perlu dijaringkan anak buah Jurgen Klopp dalam aksi kedua separuh akhir andai mahu ke final apatah lagi jika Barcelona menjaringkan gol. Maka, lebih daripada empat gol perlu diperoleh di stadium keramat Liverpool, Anfield.

Seminggu selepas itu, seluruh dunia bagaikan terpaku dengan kebangkitan luar biasa Liverpool. Seperti tidak percaya dan juga bagaikan kisah dongeng, Divock Origi dan Giorginio Wijnaldum meledak empat gol untuk membawa The Reds ke final dan kemudiannya menjulang piala buat kali keenam.

Andai semangat itu diterapkan Selangor dalam misi menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir Piala Malaysia, segalanya tidak mustahil. Tidak seperti Liverpool yang gagal menjaringkan sebarang gol di gelanggang lawan, Selangor ada bekalan satu gol hasil jaringan tunggal Ifedayo Olusegun.

Ia mungkin memudahkan tugas anak buah B. Sathianathan yang hanya perlukan kemenangan 1-0 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dan andai itu berlaku, Selangor akan mara dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Tetapi andai seri apatah lagi tewas, Selangor sudah boleh bungkus ikat tepi dan lupakan aksi final. Mungkin belum cukup semangat Liverpool meresapi skuad Selangor andai gagal ke final Piala Malaysia.

Kredit foto: FA Selangor