Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, memecahkan rekod kebangsaan lagi.

Juara bertahan Sukan Sea ini melakukan catatan 67.31 meter ketika meraih pingat perak dalam Terbuka Korea Selatan sekali gus memecahkan rekod kebangsaan buat kali ke-15 sepanjang kariernya.

Apa yang menarik, beberapa pegawai sukan negara menghubungi saya dan bercakap mengenai sikap Jackie.

"Dia tidak banyak bercakap, hanya fokus berlatih. Hanya keputusan bercakap bagi pihak Jackie".

"Itu sikap yang patut dimiliki atlet kebangsaan. Bukannya heboh mengenai kritikan dan kelemahan pengurusan, sebaliknya diri sendiri gagal catat keputusan baik," kata seorang pegawai sukan negara.

Saya tahu Jackie seorang yang jujur terhadap dirinya sebagai atlet negara.

Dia banyak berlatih di negara sendiri. Bulan lalu, dia minta berlatih di Perlis selama tiga minggu, ada juga program latihan di Terengganu.

Selebihnya di Majlis Sukan Negara (MSSN) bersama jurulatih, Gu Yuan.

"Saya mahu jadi atlet pertama Malaysia melepasi jarak 70m. Walaupun ia tidak memadai untuk layak ke Kejohanan Dunia (had kelayakan 76m), namun ia langkah yang penting.

"Sedikit demi sedikit saya dan jurulatih akan berusaha ke arah itu (layak Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Tokyo 2020)," kata Jackie.

Saya fikir Jackie mencerminkan sikap yang baik untuk atlet negara.

Jarang mengadu mengenai kelemahan individu lain sebaliknya hanya bercakap menggunakan keputusan di atas padang. Padu!