Di saat-saat genting ketika bola sepak Inggeris menagih kepemimpinan, dia tampil sekali lagi untuk menunjukkan jalan.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson, dilaporkan telah memanggil satu mesyuarat tergempar dalam kalangan kapten pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk merencana tindak balas pemain terhadap usul pengwujudan Liga Super Eropah (ESL).

Ia bukan satu tugas yang asing buatnya kerana Henderson atau mesra disapa “Hendo” oleh pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, turut mengetuai pemain-pemain dalam usaha mengutip dana buat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mendepani ancaman COVID-19 sebelumnya.

Tonggak The Reds itu, yang pasukannya sendiri adalah salah satu daripada enam kelab Inggeris yang menyokong dan sepatutnya menyertai liga yang menjadi saingan Liga Juara-Juara (UCL) itu, sedia mengetuai tindak balas pemain terhadap usul yang menggemparkan bola sepak Eropah itu.

Henderson, 30, sekian lama dilihat sebagai seorang yang dipercayai dan dihormati dalam kalangan kapten pasukan-pasukan EPL.

Terdahulu, akhbar Jerman, Bild, melaporkan bahawa Liverpool mula berasa sangsi terhadap niat untuk meneruskan ESL yang baru itu selepas melihat dan mempertimbangkan kemuncak kemarahan peminat yang tidak diduga mereka akan sampai ke tahap ini.

Malah, penyokong Liverpool sebelum itu melaungkan bantahan terhadap usul ESL itu dengan menghalang bas pasukan ketika tiba di Elland Road untuk pertemuan dengan Leeds United awal pagi semalam.





Lantaran itu, mesyuarat tergempar yang diatur Henderson dilihat amat penting kerana selain wakil enam kelab yang dijadualkan menyertai ESL, ia turut membabitkan wakil-wakil kelab EPL selebihnya bagi mendengar pandangan mereka.

Mesyuarat itu dijangka akan membincangkan langkah ke hadapan buat pemain-pemain – baik ESL menjadi kenyataan atau sudah berkubur seperti dilaporkan dalam perkembangan terbarunya.

Seperti didedahkan oleh akhbar Daily Mail, pemain-pemain Manchester United sudah dipanggil untuk satu taklimat tergempar oleh naib pengerusi eksekutif (kini mantan), Ed Woodward, pada Isnin.

Diketuai oleh kapten, Harry Maguire, bintang-bintang United dikhabarkan tidak gembira apabila mendapat tahu mengenai usul menyertai ESL itu daripada media.

Pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, turut dibiarkan bersendirian menghadapi wartawan apabila berita mengenai pengwujudan ESL itu mula tular selepas kejayaan United menundukkan Burnley 3-1, Ahad lalu.

Kesudahannya, Hendo dan rakan-rakan sepasukannya sebulat-suara menyatakan pada Selasa bahawa mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada projek ESL itu.

Ia menyusul beberapa jam selepas kapten Liverpool itu memanggil satu mesyuarat tergempar kapten-kapten pasukan EPL, yang bagaimanapun kini tidak lagi perlu selepas keenam-enam pasukan EPL turut memutuskan untuk membatalkan niat awal mereka.

Hendo tidak pun berasa ragu-ragu untuk mengulangi kata-kata rakan sepasukan, James Milner, yang berbunyi: “Kami tidak menyukainya dan tidak mahu ia (ESL) berlaku. Ini adalah pendirian bersama yang kami putuskan.”

Penyokong Liverpool harus berasa bangga untuk berkata, itu dia kapten kami!