Empat tahun lalu, pada tanggal 13 November 2017, Itali, yang telah lama digolongkan sebagai antara nama penuh gah dalam dunia bola sepak, gagal untuk menjaringkan walau satu gol pun sewaktu menentang Sweden, sekali gus memadamkan impian mereka untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Ketika itu, jelas kelihatan pasukan kebangsaan Itali gagal berfungsi sebagai satu unit, dengan kesemua pemain hanya memainkan peranan individu tanpa kerjasama utuh, masing-masing berhempas-pulas bagi mengelakkan daripada menjadi bahan ketawa seluruh negara.

Pada akhirnya, kegagalan mereka dilabelkan sebagai satu tragedi negara.

Tajuk utama yang menghiasi muka depan akhbar-akhbar Itali berkongsi satu tema yang serupa: 'Kiamat untuk bola sepak negara'.

Rata-rata peminat mengharapkan kehadiran seorang ketua jurulatih baru yang mampu menghidupkan semula harapan serta semangat pasukan kebangsaan, dengan nama Carlo Ancelotti disebut-sebut sebagai pilihan paling sesuai.

Namun, pada tanggal 14 Mei 2018, pilihan yang dipersetujui oleh badan bola sepak Itali adalah Roberto Mancini, jurulatih yang pernah berkhidmat dengan pelbagai kelab terkemuka di serata Eropah, dengan Manchester City dan Inter Milan antaranya.

Menurut laman sesawang akhbar Itali, Gazzetto dello Sport, sewaktu Mancini menghuraikan rancangannya untuk merevolusikan pasukan kebangsaan, rata-rata reaksi peminat adalah negatif.

Malah, ada yang berkata "Lupakan sahaja Piala Dunia seterusnya, kejuaraan Euro 2020 pun tidak akan dapat kami jejak jika Mancini yang bertugas sebagai ketua jurulatih!".

Ternyata betapa silapnya telahan peminat tersebut pada hari ini.



Sepanjang kerjayanya sebagai ketua jurulatih Itali, Mancini telah menghadiahkan seramai 35 pemain baru untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan dan mengetengahkan dua prinsip utama yang ternyata menjadi kunci kejayaan pasukan – bola sepak yang menarik dan semangat persaudaraan yang tegar di antara semua pemain.

Pasukan kebangsaan Itali kini berjuang dengan satu slogan yang berbunyi: "Saudara-saudara Itali, masanya sudah tiba untuk kita bersatu di bawah satu bendera dan satu harapan".

Setelah mengharungi satu perjalanan yang cukup bermakna dalam Euro 2020 setakat ini, Itali bakal berhadapan dengan ujian terakhir menentang England di Stadium Wembley awal pagi esok (3.00 pagi waktu Malaysia).

Biarpun terpaksa beraksi di gelanggang lawan, satu hakikat yang sama sekali tidak menguntungkan, Itali bakal menerima sokongan sekurang-kurangnya 1,000 peminat yang dibenarkan untuk berkunjung ke Wembley, serta pastinya sokongan dari seluruh negara juga.

Dalam temu bual bersama stesen radio BBC Radio 5 Live, Mancini mendedahkan bahawa dia berharap akan dapat merebut satu pencapaian yang terlepas daripada genggamannya sewaktu dia sendiri beraksi untuk pasukan kebangsaan dahulu.

"Perlawanan akhir menentang England ini bakal menjadi detik paling penting dalam kerjaya saya. Saya pernah beraksi untuk skuad bawah 21 tahun untuk Itali, serta untuk skuad senior juga. Sayang sekali, saya tidak pernah dapat menjulang sebarang trofi.

"Kali ini, saya diberikan peluang untuk mewakili Itali sekali lagi dan saya berharap akan dapat meraih satu pengalaman yang gagal saya peroleh sewaktu hari-hari saya beraksi sebagai pemain kebangsaan."



Mancini turut menyatakan bahawa dua aspek paling bahaya yang harus mereka hadapi adalah purata usia pemain England yang lebih muda berbanding pemainnya, serta aspek kepantasan pemain tersebut.

Pemain pertahanan Itali, Leonardo Bonucci, berseloroh dengan mengatakan perlawanan ini bakal menjadi perlawanan "orang muda menentang orang tua", lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemain-pemain seperti Bukayo Saka dan Jadon Sancho.

Mancini tidak berkongsi sebarang rancangan istimewa bagi mengekang pemain England, malah dia menegaskan bahawa England adalah pasukan pilihan ramai untuk menjadi juara.

Apa yang pasti, Itali tidak akan menjadikannya mudah untuk England memenangi perlawanan, tidak kira apa pun faktor yang mereka hadapi.

Sama-sama kita nantikan penantian siapakah yang bakal berakhir pada awal pagi esok -- Itali untuk membalas dendam atas kekecewaan gagal beraksi dalam Piala Dunia 2018, atau England yang mendambakan trofi untuk "kembali ke pangkuan" setelah sekian lama.