Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad lalu, melengkapkan malam gemilang buat skuad Harimau Selatan dan juga penyokong mereka.

Dengan berbaki dua lagi perlawanan, JDT telah pun menjuarai Liga Super Malaysia 2017 buat kali keempat berturut-turut. Malah, sebelum perlawanan menentang Kelantan lagi, persiapan telah pun dirancang untuk JDT menjulang piala kebanggaan bola sepak negara sebaik sahaja perlawanan tamat.

Dengan kejuaraan yang mereka kecapi, sejarah tercipta di mana sejak diperkenalkan pada tahun 2004, JDT menjadi pasukan pertama yang telah memenangi trofi Liga Super empat kali berturut-turut dalam 11 kali penyertaan mereka. Rekod yang saya kira sukar diulangi oleh mana-mana pasukan di Malaysia untuk jangka masa yang panjang.

Sebelum ini Kedah, Kelantan dan Selangor pernah memenanginya hanya dua kali berturut turut.

Apa rahsia JDT?

Tidak disangkal lagi sejak revolusi bola sepak Johor pada 2012 di mana peneraju utamanya adalah Tengku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, telah merombak serta merancang dengan begitu teliti dan tersusun perjalanan JDT.

"It is all about the details."

Daripada penstrukturan carta organisasi, pembangunan infrastruktur, penjenamaan, aspek komersial, kewangan, pembangunan pasukan-pasukan pelapis serta memantapkan pasukan utama JDT, anda namakan sahaja semua telah dilakukan dengan teliti oleh JDT.

Saya melihat kejayaan JDT di dalam padang adalah kerana faktor-faktor yang telah dilakukan dengan baik dan teliti di luar padang.

JDT adalah pasukan pertama di negara ini yang telah memenangi kejuaraan Liga Super empat kali berturut-turut. Bukan mudah untuk memenangi trofi Liga Super, hanya pasukan yang konsisten dan mempunyai ramai pemain berkaliber, bukan hanya kesebelasan utama mereka tetapi mempunyai ramai pilihan di bangku simpanan, mampu menjadi juara, apatah lagi empat musim berturut-turut.

Saya juga melihat faktor yang paling utama adalah JDT mempunyai konsep dan struktur dalam permainan mereka.

Pasukan yang mempunyai konsep dan struktur permainan, tidak mengharapkan individu tertentu.

Mana-mana pemain boleh diharapkan untuk mengambil tempat di antara satu sama lain. Jika ada pemain utama yang cedera, pemain lain boleh mengambil tempatnya dengan efektif kerana pemain ini hanya menjalankan tanggungjawabnya dalam posisinya di atas padang mengikut konsep dan struktur permainan pasukan.

Konsep dan struktur permainan JDT inilah yang membuatkan mereka begitu konsisten berbanding pasukan-pasukan lain dalam liga bola sepak Malaysia.

Setiap musim, mereka menambah baik konsep dan struktur permainan. Sejak Fandi Ahmad menjadi jurulatih sehingga Ullisses Morais sekarang, konsep dan struktur permainan pasukan menjadi semakin mantap.

Pemain-pemain dan jurulatih sering bertukar ganti tetapi falfasah bola sepak Johor tetap diteruskan lalu membuatkan mereka begitu mantap dan konsisten. Seterusnya, ia menjadikan mereka "the team to beat".

Secara psikologinya apabila pasukan bertandang ke stadium keramat mereka, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; keputusan seri jika mereka capai seperti satu kejayaan yang besar.

Pada pendapat saya, JDT akan hanya boleh menjadi lebih mantap pada musim-musim mendatang. Sukar untuk pasukan-pasukan lain untuk menggugat kedudukan JDT selaku jaguh bola sepak tanah air.

Ini kerana pasukan-pasukan lain masih lagi tercari-cari konsep dan struktur permainan mereka yang konsisten berbanding JDT yang telah begitu selesa sejak empat musim lalu.

Kini fokus kepada Piala Malaysia pula dan kepada JDT, Perak, Felda United dan Kedah, selamat maju jaya dalam perlawanan separuh akhir nanti.

Walaupun Perak begitu cemerlang dalam perlawanan suku akhir menewaskan antara pasukan pilihan, Pahang, JDT adalah pilihan saya untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia.