Perhubungan baik bukan bererti saya dianggap sekadar kawan tetapi ada rasa hormat yang tinggi antara kalangan pemain dan saya sebagai wartawan.

Pemain muda terutama Iskandar Zulkarnain Zainuddin antara yang mudah untuk saya berbicara, berkongsi pandangan dan mengikuti perkembangan secara rapat.

Kerana itu saya sensitif kalau ada yang menawarkan kritikan tidak membina terhadap barisan pelapis negara tanpa mereka mengetahui pengorbanan yang mereka lalui saban hari untuk badminton Malaysia.

Berbalik kepada Iskandar,saya sifatkan dia sebagai antara pengganti kepada takhta Datuk Lee Chong Wei kerana bukan sahaja dia memiliki kemampuan semulajadi malah perwatakan yang unik.

Kebelakangan ini dia dalam perhatian Pengarah Teknikal Negara Morten Frost yang meletakkan dia dibawah program khusus.

Membina keyakinan menerusi kemenangan dalam saingan bertaraf Cabaran Antarabangsa dan pengorbanan untuk berdikari sebagai seorang profesional hasil kem latihan dua minggu di Denmark.

(ketika ini dia berada di Aarhus Denmark,medan di mana Frost membentuk kerjaya dia sebagai pemain satu masa dahulu)

Bagi yang mengikuti rapat perkembangan badminton tanah air, perseorangan lelaki negara lazimnya lambat matang dan hanya pada usia 25 atau 26 tahun mereka mula memenuhi potensi.

Mungkin situasi membentuk perwatakan ini yang akan membantu Iskandar,24 tahun untuk curi tumpuan dan berada dalam kalangan sebagai pengganti Chong Wei.

Rentetan kekecewaan terdahulu diakhiri dengan gelaran di peringkat kebangsaan terbuka Perak Julai lalu sebelum dua kejuaraan Cabaran antarabangsa di Singapura dan Poland.

Koleksi yang lebih banyak di pentas senior berbanding seorang lagi prospek masa depan negara Zulfadli Zulkifli.

Lihat dan ingat nama Iskandar Zulkarnain Zainuddin saya percaya dia hanya menunggu masa sebelum mencipta impak di pentas GP dan seterusnya antara bintang di Sirkit Siri Super.