28 November 2015, pengendali berusia 64 tahun ini sekali lagi cetus sensasi apabila pasukan bimbingannya Felda United membenam Johor Darul Takzim 2-1 dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan The Fighters melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 3-2 selepas terikat satu sama pada suku akhir pertama di Stadium Selayang, Selasa lalu.

Ia kejutan paling besar dalam kempen musim ini apabila JDT selaku juara Liga Super 2015 dan juara Piala AFC 2015 dicanang awal untuk bergelar juara tetapi terkandas di pertengahan pada edisi ke-89 kejohanan.

Lebih menggemparkan, rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sejak 2013 lebur sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk meraih gelaran treble musim ini.

Saya percaya menewaskan JDT di gelanggang keramat Larkin sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan oleh mana-mana pasukan namun pemain Felda berjaya melakukannya pada Sabtu.

Sentuhan magis Irfan juga menyaksikan JDT tunduk dua kali kepada Felda United tahun ini susulan kekalahan 1-2 pasukan itu pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Selayang, Ogos lalu.

Jelas, Irfan yang juga bekas penolong jurulatih kebangsaan, Pulau Pinang, Telekom Melaka, Perlis, Terengganu dan Selangor ini sememangnya memiliki aura tersendiri.

Selain bijak membuat percaturan menerusi kombinasi pemain muda dan veteran, jurulatih berpengaruh ini juga cukup hebat melancarkan perang psikologi untuk menjerat pasukan-pasukan lawan.

Maka, tidak hairanlah Irfan dilabel Carlo Ancelotti Malaysia.

Ancelotti bekas jurulatih beberapa kelab ternama Eropah satu-satunya pengurus yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah tiga kali dan beliau dianggap pengurus terbaik sepanjang zaman.

Kedua-dua jurulatih ini memiliki perwatakan sama di dalam mahupun di luar padang dan yang paling ketara adalah tabiat merokok selain kedua-duanya juga rambut beruban.

Jika juara Liga FAM 2015 memiliki Pablo Dollah Salleh, Felda United pula mempunyai Irfancelotti!