Rekod tertua olahraga negara milik Tan Sri Dr M Jegathesan dalam acara 200 meter.

Beliau melakukan 20.92 saat pada separuh akhir Sukan Olimpik Mexico 1968 sekali gus pencapaian yang sukar diatasi mana-mana pelari generasi baru dalam tempoh 49 tahun.

Namun, tidak bagi atlit lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Atlit berusia 22 tahun itu hanya perlukan tempoh enam hari untuk pecah tiga rekod kebangsaan.

"Ini atlit atau raksasa?"

Itu gurauan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh yang juga rakan karib Irfan.

Benar, ketika ini Irfan sukar dihalang.

Dia melakukan 61.10m pada kejohanan di Helle, Jerman pada 21 Mei.

Dua hari kemudian, dia memecahkan lagi rekod kebangsaan dengan 61.56m pada kejohanan di Turnov, Republik Czech.

Pada 25 Mei, pemenang dua pingat emas Sukan Sea ini cipta hatrik dengan jarak 62.55m pada kejohanan Union Leichtathletic Gala di Linz, Austria.

Atlit kelahiran Negeri Sembilan itu hanya ketinggalan dibelakang jaguh tuan rumah, Lucas Weisshaidinger yang melakukan 65.35m.

Apa yang menarik, dengan pencapaian ini Irfan sudah menghuni ranking kelima Asia. Dia perlu menambah 2.45m lagi untuk melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia di London, England, Ogos depan.

Saya fikir dia mampu melakukannya dalam tempoh dua minggu lagi sekali gus berada dalam kelompok 30 ranking terbaik dunia.

Pada pendapat saya, Irfan sepatutnya tiada masalah mempertahankan emas Sukan Sea sekali gus tumpuan perlu diberikan untuk meluaskan pengaruhnya di benua Asia.

Jadi sasaran berikutnya haruslah terhadap Kejohanan Trek dan Padang Asia di Ranchi, India, Julai depan.

Dia belum pernah menjuarai kejohanan itu dan mungkin ia peluang awal untuk menguji kedudukannya menjelang Sukan Asia Indonesia 2018.

Saya tertarik dengan komen Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim bahawa skuad olahraga beri jaminan untuk raih sekurang-kurangnya tiga emas menerusi Irfan, Nauraj dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Namun, saya lihat taraf mereka jauh lebih tinggi daripada itu.

Mereka memiliki kualiti untuk muncul atlit terbaik Asia, beraksi di Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Buat Irfan, teruskan usaha anda. Rekod bukan untuk dipegang tapi dipecahkan.