Suku pertama setiap tahun, peminat hoki terutama di Ipoh, Perak bersiap-sedia menanti kehadiran pasukan terbaik dunia untuk turun merebut Piala Sultan Azlan Shah.

Stadium Azlan Shah dengan kapasiti 10,000 tempat duduk penuh setiap hari perlawanan terutama untuk perlawanan membabitkan Malaysia.

Beberapa peminat tegar juga awal-awal lagi sudah menghantar mesej bertanyakan mengenai liputan dan perancangan krew Nadi Arena di Ipoh nanti.

Namun apakan daya, Covid-19 memusnahkan semua.

Edisi ke-29, yang ditunda September depan dibatalkan sekali gus terlepas peluang menyaksikan kehebatan bekas juara Sukan Olimpik dan Dunia, Australia selain Kanada, Jepun, Pakistan, Korea Selatan (juara bertahan) serta Malaysia.

Keputusan dibuat selepas pegawai Persatuan Hoki Perak menghadap Sultan Perak.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Piala Sultan Azlan Shah dibatalkan.

Tindakan sama pernah diambil pada 1989, 1993 dan 2002 atas pelbagai faktor.

Cuma, tahun ini penting kerana Malaysia hanya terbabit dengan dua kejohanan.

Kini, harapan kepada Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Bertabahlah peminat hoki. Semua sukan merasai kesan yang sama.

Rindu dengan Nasi Ganja Kedai Kopi Yong Suan, Mee Kari Mat Jasak, Ayam Kampung Restoran Simpang Tiga juga nampaknya berpanjangan.

Kita jumpa tahun depan.