Serie A bukan lagi hanya berkisar kepada Cristiano Ronaldo dan Juventus – terima kasih kepada Inter Milan dan pengurusnya, Antonio Conte.

Kejayaan terbaru menundukkan AC Milan 3-0 dalam ‘Derby della Madonnina’ kelmarin bukan sekadar mengangkat skuad Nerazzurri itu berjarak empat mata di tangga teratas, malah sudah disebut-sebut sebagai juara dalam pembikinan, dengan musim yang berbaki 15 perlawanan lagi.

Semakin berbisa gandingan penyerang, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez, hinggakan AC Milan tiada jawapan terhadap kedua-duanya, yang mendapat pujian istimewa Conte, di samping seorang lagi bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Christian Eriksen, yang disambar dari Tottenham pada Januari 2020 dengan nilai €20 juta/£17 juta (RM98 juta).

Kedua-dua Lukaku dan Martinez menemui sasaran ketika menutup mulut Zlatan Ibrahimovic dan rakan-rakan sambil Inter menyerlahkan lebih daripada sekadar penguasaan, malah bayangan bagaimana mereka akan berkesudahan pada hujung musim nanti.

Ia menyaksikan Lukaku sudah menghasilkan 23 gol liga musim ini, disusuli 13 daripada Martinez, penyerang antarabangsa Argentina berusia 23 tahun yang diangkat media Itali sebagai lebih berbisa daripada rakan senegara, Paulo Dybala, bersama Juventus.

“Kedua-duanya tahu segala-galanya bermula daripada mereka berdua,” kata Conte seperti dipetik FcInterNews. “Walaupun mereka turut bekerja keras di fasa pertahanan, ia tidak mengganggu rentak mereka ketika menyerang dalam merangka dan menyudahkan peluang.

“Ketika berdepan Milan, kedua-duanya sekali lagi berganding untuk menghasilkan jaringan dan saya gembira kerana selain menyerang, mereka bekerja keras untuk pasukan dan pada saya, itu yang paling penting,” katanya lagi.



Sejak menyertai Inter daripada Manchester United pada 2019, Lukaku sudah menyumbat 57 gol daripada 81 penampilan manakala Martinez menggoncang jaring 45 kali dalam 117 perlawanan sejak ketibaannya dari Racing Club pada 2018.

Sambil menekankan matlamat Inter untuk sentiasa berusaha meraih kejuaraan, Conte mengungkapkan: “Saya fikir Inter, dengan sejarah yang dimilikinya, sentiasa bercita-cita besar untuk bergelar juara tapi hanya satu pasukan yang akan memilikinya.

“Sejak musim lalu, kami tidak henti-henti berjuang untuk mendapatkan keputusan maksimum, namun kami sekadar naib juara dalam liga dan mara ke final Liga Europa.

“Musim ini pula, kami berjuang lagi. Kami sedar kesukarannya tapi kami juga sedar kami sedang meningkat.

“Pasukan kami secara keseluruhannya semakin baik dan kualiti individu pemain-pemain juga rata-rata bertambah baik.

“Ia memberikan kami keyakinan untuk memasang harapan,” ujar Conte – kata-kata yang harus tidak sedap didengar pengurus Juventus, Andrea Pirlo, yang pasukannya kini di tangga ketiga, lapan mata di belakang pendahulu tapi memiliki satu perlawanan dalam tangan.



Jika ada satu pasukan yang mampu menyekat The Old Lady daripada menggapai kejuaraan Serie A buat musim kesembilan berturut-turut, Inter harus memberikan igauan.