“Mereka tidak kelihatan seperti akan menjaringkan gol. Empat pertahanannya pula bertempiaran,” kata legenda Liverpool, Jamie Carragher, mengenai bekas pasukannya itu.

Kekalahan terbaru 0-1 kepada Chelsea di Anfield, awal pagi tadi, sekadar menempatkan The Reds di tangga ketujuh sambil berjurang 22 mata dengan Manchester City di tangga teratas – dengan penyudahan dalam kelompok empat teratas di akhir musim kelihatan semakin sukar.

Ia adalah kekalahan kelima berturut-turut buat Liverpool di halaman sendiri, satu situasi yang sekadar diperburukkan apabila Mohamed Salah dikeluarkan ketika permainan masih berbaki 30 minit.

Pemain sayap antarabangsa Mesir itu menyepak bola keluar sebagai menunjukkan rasa kecewa, disusuli satu ciapan oleh ejennya menerusi Twitter yang tambah menghangatkan spekulasi mengenai masa depannya di bawah kendalian Jurgen Klopp.





Carragher, pengulas untuk Sky Sports, turut mencurah minyak ke api dengan rumusannya bahawa ia sesuatu yang aneh untuk Salah dipermangsa di sebalik dia adalah penjaring terbanyak kelab itu musim ini.

“Saya tidak percaya Salah dikeluarkan. Untuk mengeluarkan seorang penjaring terbanyak adalah aneh. Sudah tentu hari ini bukan hari terbaiknya tapi dia juga tidak mudah kehilangan bola.

“Dia bukanlah pakar gelecek tapi dia pintar menanti peluang dan menyudahkannya. Klopp tidak pernah ragu-ragu untuk menggantikan Salah. Sukar untuk mempersoalkan keputusannya tapi pada saya, ia satu tindakan yang pelik,” katanya lagi.

Carragher juga berasakan sebahagian besar masalah Liverpool dalam musim mereka selaku juara bertahan ialah terhakisnya keyakinan dalam pasukan di samping perlu berbelanja besar dalam pasaran perpindahan untuk mengatasi kebuntuan gol.




“Anda dapat melihat barisan pertahanan yang berterabur. Mereka harus segera mencari jalan untuk mengharungi tempoh sukar ini.
“Ia sesuatu yang tidak pernah dilalui, dengan krisis kecederaan, tiada penonton tapi ia menuntut anda berusaha sekeras yang boleh.

“Cuma, mereka telah hilang keyakinan itu. Ia mudah disalahertikan bahawa mereka terlalu penat tapi sebenarnya mereka langsung tidak berkeyakinan,” tambahnya.

Jamie Redknapp, rakan sejawatan Carragher di Sky Sports, menyimpulkan keadaan sudah diterbalikkan.




“Musim lalu, Liverpool sebuah pasukan yang banyak menekan. Mereka mampu mengatasi kerja keras mana-mana pasukan dengan pendekatan ‘gegenpressing’ mereka.

“Tapi kini pasukan-pasukan lawan yang melakukan itu terhadap mereka,” ujarnya.

Angkaranya, Liverpool kini empat mata di belakang Chelsea yang mengisi tangga keempat, sambil dua pasukan di atas mereka, Everton dan West Ham, masing-masing mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Kredit imej: Daily Mail