Tatkala perhatian bagi saingan Piala Dunia 2018 lebih terarah kepada empat pasukan, iaitu Perancis, Brazil, Belgium dan Jerman, banyak pihak yang seakan-akan melupakan kelibat Portugal yang hadir ke Russia dengan status selaku juara Kejohanan Eropah 2016.

Walaupun banyak pihak menyifatkan kejayaan di Perancis itu sebagai sesuatu yang lebih kepada nasib yang menyebelahi mereka, terutama apabila melihat perjalanan Selecao das Aquinas dalam Piala Dunia 2014, harus diakui bahawa Portugal memiliki kekuatan tersendiri sehingga mampu muncul juara Kumpulan B ketika saingan kelayakan zon Eropah, sekali gus mengesahkan tiket automatik ke Russia 2018.

Berada di kedudukan keempat dunia ketika ini, skuad kebangsaan Portugal hari ini banyak dibandingkan dengan pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2006, di mana mereka tewas di tangan tuan rumah, Jerman, dalam penentuan tempat ketiga.



Kelibat Cristiano Ronaldo, Bernardo Silva, Andre Silva dan Pepe kerap menerima perbandingan dengan skuad pada 12 tahun lalu yang dibarisi oleh pemain-pemain seperti Ricardo Carvalho, Luis Figo, Deco serta Helder Postiga.

Untuk saingan di Russia, Portugal tampak menjadi pilihan kedua untuk melayakkan diri ke kelompok 16 pasukan terakhir selepas diundi bersama Maghribi, Iran serta juara edisi 2010, Sepanyol. Bagi pengendalinya, Fernando Santos, dia tentunya sudah memiliki percaturan tersendiri walaupun terdapat beberapa tindakannya yang mencetuskan tanda tanya.



Banyak pihak mempersoalkan apabila benteng Barcelona, Nelson Semedo, tidak dipanggil Santos bagi memperkuatkan skuad Selecao das Aquinas di Russia kerana pengurus itu memilih untuk membawa pertahanan Southampton, Cedric Soares.

Selain itu, pemilihan pemain berusia lebih 34 tahun di bahagian bawah (Bruno Alves dan Jose Fonte) juga dianggap satu tindakan berisiko kerana saingan sebesar Piala Dunia sudah pasti memerlukan kudrat yang tinggi.

Bagaimanapun, kelemahan di benteng Portugal mungkin dapat diimbangi oleh jentera serangan, sama seperti ketika Kejohanan Eropah dua tahun lalu.

Selain Ronaldo yang sudah pasti mengetuai barisan depan, Santos juga mampu mengharapkan kelibat pemain-pemain muda seperti Andre Silva, Goncalo Guedes, Gelson Martins sambil dibantu oleh penampilan pemain senior seperti Ricardo Quaresma dan Joao Moutinho.



Tidak dinafikan bahawa Portugal dilihat ketara dalam bergantung kepada kemampuan Ronaldo, terutama ketika diikat 2-2 oleh Tunisia dan 0-0 oleh Belgium dalam aksi pemanas badan tanpa kelibat bintang Real Madrid itu, sebelum memenangi pertemuan dengan Algeria 3-0 selepas Ronaldo kembali membarisi pasukan.

Namun, tiada siapa juga yang menyangka skuad bimbingan Santos dapat menafikan peluang Perancis di laman sendiri untuk bergelar juara Eropah pada 2016 dan jika diimbas kembali, mereka meraih gol kemenangan dalam final tanpa kelibat Ronaldo yang telah mengalami kecederaan.



Aksi di Russia mungkin menjadi penentu sama ada mereka lebih unggul berbanding pasukan yang menduduki tempat keempat 12 tahun lalu di Jerman. Lebih-lebih lagi, Ronaldo yang tentunya mahu meraih kejayaan terbesar selepas memenangi hampir kesemua kejuaraan yang diimpikan setiap pemain.

Mungkin perlawanan pertama Piala Dunia 2018 berdepan Sepanyol pada awal pagi Sabtu nanti menjadi penentu sejauh mana kebenaran itu.