Dua tiga tahun lalu, nama Pahang cukup gah, apatah lagi sering diperkatakan antara pasukan terbaik di Malaysia bersama-sama dengan seteru mereka, Johor Darul Ta'zim ( JDT).

Namun, tahun 2016 berita mengenai skuad Tok Gajah seolah-olah tiada.

Mereka menyepi daripada mencuri perhatian media dan peminat seiring dengan sepinya Stadium Darulmakmur setiap kali perlawanan berlangsung.

Perginya nama-nama besar yang membawa Pahang ke lembah masyhur seperti Razman Roslan, Azammuddin Akil, Hafiz Kamal, R. Gopinathan, Damien Stewart, Dickson Nwakaeme, Zesh Rehman dan Matias Conti, menyaksikan pasukan Pahang cukup terkesan sehingga hampir terjerumus ke kancah Liga Perdana.

Namun, seperti biasa, kedudukan Pahang berjaya ‘diselamatkan’. Tetapi untuk musim ini, Pahang tampil dengan cukup garang.

Tirai kemenangan dalam Liga Super bermula apabila membelasah T-Team 5-0, diikuti kemenangan 1-0 ke atas Sarawak sebelum dikejutkan Kedah 4-1 di Stadium Darulaman. Namun, tiga perlawanan liga seterusnya menyaksikan Pahang berjaya mencetak 12 gol.

Sesuatu yang menakjubkan bagi pasukan yang baru meningkat naik. 20 gol dalam Liga Super dalam tujuh perlawanan turut menyaksikan Pahang memiliki jentera penyudah yang cukup mantap, dan tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa Pahang kini telah kembali.

Tok Gajah turut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri untuk musim ini di bawah kendalian orang lama, Dollah Salleh, sekaligus menyaksikan sedikit demi sedikit, penyokong sudah mula kembali ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Pahang musim ini turut berjaya memikat banyak nama-nama besar di atas padang, yang sama sekali jauh berbeza dengan skuad 2016 yang gagal memberi saingan kepada pasukan lawan.

Diharapkan kecemerlangan skuad Pahang musim ini bukanlah sekadar bersifat sementara kerana skuad dengan reputasi besar seperti Pahang seharusnya patut kekal konsisten di dalam saingan liga dan bukan terumbang-ambing seperti pasukan lain yang tidak berapa ternama.

Jangan kerana ikutkan cakap segelintir individu yang tidak tahu tentang bola sepak, satu pasukan menerima padah.