Ketika mengharungi pertarungan di peringkat awal Kumpulan B, pasukan Indonesia tidak diberikan harapan oleh peminat-peminat mereka apabila anak-anak buah Indra Sjafri dikritik media tempatan mereka sehinggakan ada yang mengatakan Indra tidak mempunyai idea dan kreativiti dalam merencana strategi dalam gerakan untuk mencipta kemenangan.

Namun, itu tidak menggusarkan pengendali Indonesia itu untuk terus memberi kata-kata semangat dan akhirnya anak-anak buah Indra membuktikan bahawa kritikan yang dilontarkan itu adalah perangsang kepada mereka untuk terus maju dan bahawa pengkritik itu silap. Itu realitinya apabila anak-anak buah Indra bangkit memberi persembahan terbaik mereka sehingga ke perlawanan akhir ketika menentang Thailand semalam.

Lihat sahaja karektor setiap individu pemain Indonesia dan keyakinan yang ditunjukkan mereka diatas padang apabila tiupan wisel mula dibunyikan dalam separuh masa pertama, mereka terus memberi tekanan kepada lawan dan menguasai permainan sehingga bersambung dalam separuh masa kedua.

Walaupun ketinggalan satu gol kepada Thailand melalui jaringan Saringkan Promsupa, namun pemain-pemain Indonesia bangkit untuk terus menyerang dan akhirnya mereka berjaya menyamakan kedudukan satu minit kemudian melalui Sani Riski. Selepas itu pemain-pemain Indonesia tidak memperlahankan rentak permainan sebaliknya terus memberi tekanan kepada pasukan pilihan kejohanan dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol kedua melalui Osvaldo Haay. Itulah gol kemenangan Indonesia dalam edisi kali ini.

Apa yang menarik ingin penulis nyatakan disini bagaimana karakter pemain-pemian Indonesia ini yang kental walaupun dikritik dan dihentam oleh peminat-peminat mereka sendiri, namun semangat juang yang tinggi demi negara tercinta serta tumpuan pada perlawan dan percaya pada kemampuan diri akhirnya dibayar jua dengan kejuaraan yang dimiliki. Inilah kejayaan yang tidak boleh dijual beli, sekalung tahniah kepada pemain-pemain muda Indonesia dan pegawai kejurulatihan mereka yang diketuai Indra untuk mendakap Piala Kejohanan AFF B-22 2019.