Terlepas kelompok empat teratas musim 2020/21 hanya dengan satu mata, dan masih berkesudahan dalam kalangan lapan terbaik pada akhir musim lalu, ternyata banyak yang dihasratkan daripada Leicester City selepas tujuh perlawanan musim ini.

Tidak hanya persaingan sengit Liga Perdana Inggeris (EPL) terbatas kepada pasukan-pasukan utama, situasinya tidak banyak berbeza dengan barisan pencabar – pertamanya berebutkan tempat ke saingan peringkat Eropah, keduanya memburu kelompok pertengahan dan terakhir sekali, mengelak diturunkan.

Meneruskan siri kad laporan The Daily Mail pada awal musim, tumpuan tetap tidak terhindar daripada pasukan-pasukan yang menunjukkan kemerosotan besar, dan Leicester City tidak terkecuali di tangga ke-20 liga dengan hanya satu mata ketika ini.

Memasuki musim baru ini, harus hingar-bingarnya tidak terlalu positif buat mereka tapi pada masa sama, harus tidak ramai dalam kalangan penyokong The Foxes yang terbayangkan permulaan kempen sejelek ini.

Terhumban ke dasar liga gara-gara enam kekalahan berturut-turut, yang antaranya menyaksikan mereka dibelasah 6-2 di Tottenham Hotspur, 18 September lalu, The Foxes memulakan cabaran dengan rentetan keputusan terburuknya sejak 1983.



Suasananya amat kacau-bilau buat barisan kendalian Brendan Rodgers ini yang sudah pun bolos 22 gol atau purata tiga gol setiap perlawanan, yang harus menepati resipi terbaik buat pasukan yang bakal diturunkan bahagian.

Bolos enam di Tottenham, mereka juga melepaskan empat gol kepada Arsenal dan lima kepada Brighton, yang rata-rata disandarkan kepada perpindahan tonggak pertahanan, Wesley Fofana, ke Chelsea manakala penjaga gol, Kasper Schmeichel, sudah menyertai Nice dalam Ligue 1.

Dalam pada itu, buruan gol bukan masalah utama Leicester, dengan Jamie Vardy, yang sudah menginjak usia 35 tahun masih boleh diharapkan – 10 gol The Foxes setakat ini gagal dipintas mana-mana pasukan dalam kelompok bawahan.

Rodgers mungkin boleh mengambil inspirasi daripada skuad 1983 yang masih berupaya mengelak diturunkan tapi pada masa sama harus menghindarkan cakap-cakap yang tempatnya sendiri selaku pengurus kini jadi spekulasi bakal diisi bos Brentford, Thomas Frank.

Di pihak berbeza, mungkin agak keterlaluan untuk menggolongkan Brighton & Hove Albion (BHA) selaku antara pilihan bakal juara pada awal musim. Sudah barang tentu ia terlalu awal tapi ia menyerlahkan hakikat kemajuan luar biasa sejak dinaikkan bahagian pada 2017.

Harus janggal untuk melihat The Seagulls di tangga keempat dengan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan ketika ini tapi ia adalah hasil kerja keras pengurus, Graham Potter, dan barisan pemainnya.

Potter telah menerapkan stail bola sepak yang menarik, cuma mereka ketiadaan seorang penyerang prolifik untuk menyudahkan deretan peluang yang dicipta.

Kemenangan 2-1 dalam perlawanan pembukaan musim di Manchester United di samping 5-2 mengatasi Leicester City awal bulan ini harus antara pertimbangan buat Chelsea mengikat pengurus itu bagi menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat.

Tiada siapa tahu sejauh mana Potter mampu mengemudi Brighton andai memilih untuk kekal tapi itu tidak menghalang peminat berkecuali untuk terus berasa teruja dengan corak permainan bergaya yang menjadi legasinya.

Potter tidak boleh dipersalahkan andai mengidam untuk mengangkat tahap pengurusannya ke satu aras berbeza dan harap-harap Brighton, kini di bawah kendalian Roberto De Zerbi dari Itali, turut mampu terus memuncak seiring dengan pasukan-pasukan besar.