Tidak semua pemain bola sepak memulakan karier sejak dari bangku sekolah atau menyertai mana-mana akademi bagi merealisasikan impian yang ditanam dalam diri sejak kecil.

Tidak dinafikan, penulis melihat pendedahan yang diterima barisan peserta Kem Explorer Antarabangsa Allianz Munich merupakan situasi yang tidak mudah diraih oleh semua pemain dan tidak keterlaluan jika mereka disifatkan sebagai golongan yang beruntung.

Dan, kenyataan itu diakui dan dipersetujui sepenuhnya oleh salah seorang peserta dari Malaysia, Muhammad Firdaus Amirrudin.

Pelajar SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah yang mesra dipanggil 'Chaq' itu percaya, dia adalah insan terpilih yang sangat beruntung berpeluang untuk menyertai kem di Jerman kali ini.

Ketika ditemubual, Chaq tidak menyembunyikan perasaan gembira dan terlalu puas selepas namanya tersenarai untuk terbang ke Jerman tetapi dia mengakui berdepan dugaan hebat selepas gagal dalam percubaan pertama untuk menyertai program itu, tahun lalu.

Keadaan cuaca yang tidak menentu di Munich, kerinduan terhadap masakan di kampung terutamanya nasi kandar serta ketahanan badan menghadapi tempoh 20 jam perjalanan menjadi antara ujian awal yang dihadapi Chaq sebelum memulakan kem di Saebener Strasse, Munich.

Namun, keterujaan melihat kelengkapan yang ada di Munich seperti tempat tinggal, lokasi latihan, ibu pejabat Allianz membuatkan Chaq yakin segala pengorbanan yang telah dilalui berbaloi dan dia sedar harus menggunakan kesempatan yang terhidang, mendapatkan sebanyak mungkin ilmu yang ada.

Hanya membawa sokongan jauh dari ibu tatkala bapanya, Amirrudin Dharib, meninggal dunia ketika dia berusia 5 tahun, dia yang mula serius dalam bola sepak ketika berumur 14 tahun dan beraksi di posisi tengah bertekad mahu menggunakan segenap pengalaman yang dicurahkan jurulatih program, Thomas Dhollner, untuk dia mengejar impian bergelar pemain elit satu hari nanti.

Dia menamakan bintang Chelsea, N'Golo Kante, sebagai idola dan rujukan utamanya untuk memantapkan permainannya di masa akan datang, ditambah dengan pendedahan yang diterima dari dua orang tonggak Bayern Munich, Leon Goretzka dan Thiago Alcantara.

Kini, Chaq telah kembali ke kampung halaman setelah menamatkan tempoh enam hari menimba ilmu di bumi Jerman dan dia membawa azam baru, mahu bergelar pemain pertama dari program itu yang mewakili skuad Harimau Malaya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selamat maju jaya, Chaq!