Tindakan berani Ong Beng Hee bergelar profesional pada 1995 adalah pembuka kepada langkah beberapa pemain skuasy negara untuk mengambil keputusan bermain sepenuh masa, termasuklah Datuk Nicol David dan itulah pencetus kepada landskap baharu sukan skuasy negara.

Perkara ini dikongsikan pemain skuasy negara, Azlan Iskandar, ketika temubual ekslusif dalam Nadi@1 minggu ini.

ujuh tahun lalu, Azlan membuat keputusan untuk menggantung raket selepas 13 tahun bergelar pemain profesional menyaksikan Azlan menamatkan kerjaya dengan 13 gelaran, tidak termasuk pingat emas di Sukan Asia dan Sukan Dunia.

Persaraan pada usia 30 tahun menyaksikan Azlan menjadi mangsa cakap-cakap mereka yang menganggap ia satu kerugian dan terlalu awal kerana ia dibuat setahun selepas dia menyertai senarai 10 pemain terbaik dunia.

Namun, Azlan tidak pernah menyesal dengan keputusan itu kerana dia sudah memikirkan perkara ini sejak berusia 24 tahun lagi.

"Kerjaya seorang atlet ini ada tamat tempohnya tapi tugas untuk mengharumkan nama negara datang dalam pelbagai cara."

Azlan sebelum ini pernah memimpin Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sebagai salah satu usahanya untuk terus menyumbang dan masih aktif membantu Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di belakang tabir menyaksikan Azlan sangat memahami perkembangan semasa dunia skuasy.

Atas dasar itu, Azlan memberi sokongan kepada Nicol untuk bersara pada Jun nanti dan menolak segala persoalan termasuk spekulasi tentang pemain paling lama menghuni ranking no.1 dunia ini sudah tidak berdaya untuk kembali ke prestasi terbaik.

"Saya nampak keperitan yang ditanggung Nicol. Cukuplah hampir 20 tahun memikul tanggungjawab sebagai pemain profesional. Nicol telah berikan segalanya termasuk kehidupannya sendiri."

Sejak bergelar pemain profesional pada tahun 2000, Nicol muncul pemain yang hampir sukar untuk ditewaskan walaupun seteru utamanya, Natalie Gringham.

Rekod pencapaian Nicol setakat ini juga mengatasi mana-mana pemain skuasy wanita dengan lapan kejuaraan dunia, lima pingat emas Sukan Asia, dua pingat emas Sukan Komanwel, tiga pingat emas Sukan Dunia dan 81 kejuaraan Jelajah PSA.

Penanda aras ini adalah antara impak yang dicetus Nicol buat pedoman adik-adik junior, Azlan pula memiliki rasionalisme yang baik untuk memimpin ketika semua atlet skuasy negara perlu berterima kasih kepada Beng Hee.