Buat anda yang menonton perlawanan La Liga antara Barcelona dan Las Palmas pada 1 Oktober 2017, seperti yang terpapar di skrin, stadium Nou Camp lengang tanpa sebarang penyokong. Ini kerana di luar stadium berlaku ketegangan ekoran undian referendum kemerdekaan yang dituntut oleh masyarakat Catalan terhadap kerajaan Sepanyol.

Barcelona sudah pun meminta untuk menunda perlawanan tersebut, namun mereka telah diugut untuk dipotong sebanyak enam mata jika tidak meneruskan perlawanan tersebut, dan seperti yang diketahui umum, Barcelona berjaya menang 3-0.

Ia masih bukan penamat, kerana jika situasi ini akan berterusan, banyak impaknya khusus dalam konteks bola sepak itu sendiri akan terjejas. Senario kini bukan sahaja tertumpu kepada Barcelona, namun kelab seperti Espanyol, Girona, dan dua kelab di Segunda Division (Divisyen Dua) iaitu Lleida dan Tarragona turut akan menerima akibatnya.

Impak utama sudah semestinya mereka tidak akan dibenarkan menyertai liga tempatan, dan jika kita amati lebih dalam, maka selepas ini tidak akan ada lagi pertemuan El Clasico antara Real Madrid dan Barcelona yang telahpun berlangsung sejak 1929.

Bukan itu sahaja, Barcelona juga perlu mengharungi pusingan kelayakan untuk mendapatkan slot beraksi di Liga Juara Juara Eropah.

Untuk konteks pasukan kebangsaan, ia akan jadi lebih parah, kerana beberapa tonggak Sepanyol kini mempunyai darah Catalan. Jordi Alba, Cesc Fabregas, Sergio Busquets, Gerard Pique, malahan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola.

Ketika ini masih tiada kata putus tentang referendum itu, namun jika Catalan berjaya mencapai kemerdekaan, mereka harus bermula dari bawah untuk membina sebuah negara. Tapi tidak untuk bola sepak kerana mereka bagai punyai pelan struktur serta barisan pemain sedia ada yang berwibawa.