Donny van de Beek -- menantu penyerang legenda Arsenal, Denis Bergkamp, bekas anggota pasukan Ajax yang mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2019, di samping bakat muda yang pernah didambakan oleh kelab-kelab gergasi Eropah -- kini sekadar memanaskan bangku simpanan Manchester United.

Dibeli dengan harga setinggi £40 juta (RM225 juta), penampilannya terhad kepada menjadi pemain kesebelasan utama hanya sebanyak empat kali dalam tempoh satu setengah musim.

Apa yang difikirkan oleh United sebenarnya?

Menurut akhbar The Daily Mail, sewaktu van de Beek dijual, bekas penjaga gol United, Edwin van der Sar, yang kini bertugas sebagai ketua eksekutif Ajax telah menempah satu iklan muka surat penuh dalam akhbar Manchester Evening News demi mengucapkan selamat jalan kepada bakat muda itu.

"Kami sedar telah tiba masanya untuk Donny berhijrah dan memenuhi impiannya. Tiada tempat yang lebih sesuai untuk memenuhi impian berbanding Theatre of Dreams milik Manchester United." Begitulah nukilan van der Sar.

Impian itu kini ternyata satu mimpi ngeri.

Sewaktu van de Beek dibeli oleh bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, formasi yang digunakan saban minggu adalah 4-2-3-1 yang melibatkan penggunaan dua pemain tengah bertahan dan seorang pemain tengah menyerang.

Posisi pemain tengah menyerang dipegang teguh oleh Bruno Fernandes, manakala selepas beberapa percubaan, United menyedari yang van de Beek tidak memiliki aspek fizikal yang ampuh untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan.

Disebabkan itu, dia hanya boleh digunakan sebagai sandaran untuk Bruno Fernandes semata-mata, dan ternyata peluang untuk beraksi tidak hadir dengan kerap.

Pada September tahun lalu, kesabaran van de Beek akhirnya meletus sewaktu dia dirakam melemparkan gula-gula getah yang dikunyahnya ke arah bangku simpanan, gara-gara tidak dimasukkan sebagai pemain simpanan pun dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

Biarpun setelah Solskjaer meninggalkan kelab, pengurus-pengurus berikutnya, Michael Carrick dan Ralf Rangnick kini nampaknya turut tidak berminat untuk menjadikan van de Beek sebagai sebahagian kesebelasan utama.

Menurut laporan akhbar The Mirror, Bergkamp telah menghubungi bekas rakan sepasukannya, Patrick Vieira, yang kini bertugas sebagai pengurus Crystal Palace, untuk menyelamatkan menantunya.

Di saat rakan sepasukannya, Jesse Lingard, hampir pasti dipinjamkan ke Newcastle United, van De Beek pastinya tidak sabar-sabar lagi untuk turut angkat kaki demi memastikan peluangnya beraksi bersama pasukan kebangsaan Belanda di Piala Dunia 2022 kekal cerah.

Namun, halangan utama ketika ini adalah daripada aspek gaji.

Gaji mingguan van de Beek bersama United dilaporkan adalah setinggi £120,000 (RM675,000), manakala di Crystal Palace, cuma penyerang utama mereka, Wilfried Zaha, yang meraih gaji lebih tinggi daripada itu.

Nyatalah van de Beek harus menelan potongan gaji demi meraih peluang untuk kembali beraksi dan memulihkan semangat serta keyakinannya yang hilang gara-gara satu pembelian yang tidak dirancang baik.

Selain van de Beek dan Lingard, pemain-pemain lain seperti Dean Henderson, Edinson Cavani, Eric Bailly dan pastinya Paul Pogba, dilaporkan bakal menyusul ke arah pintu keluar juga.

Masih relevankah julukan 'Theatre of Dreams' (panggung impian) buat Old Trafford?

Mungkin 'Theatre of Broken Dreams' (panggung impian yang musnah) lebih bersesuaian?