“Apabila mereka menyarung jersi Argentina, ia seolah-olah mereka tiba-tiba tidak tahu bagaimana bermain bola sepak,” kata Mario Kempes, bekas pemain kebangsaan Argentina.

Kata-kata itulah yang kini berlegar-legar di fikiran Dayang membayangkan bagaimana pasukan yang merupakan finalis Piala Dunia 2014 kini bergelut untuk merebut tempat layak secara automatik ke Piala Dunia 2018 di Rusia. Selepas cemerlang di Piala Dunia 2014, Argentina terus dirundung malang yang bertimpa-timpa biarpun skuad mereka diketuai Lionel Messi selain deretan pemain bintang seperti Angel Di Maria, Paolo Dybala, Javier Pastore dan Mauro Icardi.

Sekadar meledakkan 16 gol dalam 16 perlawanan terakhir, dengan purata satu gol dalam satu perlawanan membuktikan betapa skuad Argentina berada dalam krisis prestasi yang amat teruk.Jika sebelum ini tempat automatik dari zon Amerika Selatan bukanlah satu masalah buat mereka, tetapi kini kemungkinan besar Argentina terpaksa beraksi di dalam perlawanan play off untuk merebut tempat ke Piala Dunia 2018.

Ini kerana hanya empat pasukan terbaik akan layak secara automatik sedangkan Argentina kini menduduki tangga kelima dan mereka turut berdepan ancaman dari pasukan di tangga ke enam, Chile.

Skuad bimbingan Jorge Sampaoli akan berdepan Peru dan berkunjung ke Ecuador dimana mereka amat memerlukan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan selepas sekadar seri 1 sama bertemu Venezuela pada pertemuan terakhir mereka. Namun nasib mereka turut bergantung kepada aksi membabitkan Chile yang hanya ketinggalan satu mata di belakang mereka dan juga keputusan berdepan Peru yang kini menduduki tangga keempat.

Dayang secara peribadi mengharapkan dapat melihat kelibat bintang-bintang dari Argentina dalam aksi Piala Dunia tahun hadapan kerana tidak dapat dinafikan, Argentina adalah salah satu pasukan yang mempunyai ramai peminat di seluruh dunia selain turut memberikan banyak impak positif dalam sukan bola sepak. Selain itu, ini mungkin Piala Dunia terakhir buat nama besar seperti Sergio Romero, Gonzalo Higuain dan Lionel Messi.