Hoki Piala Razak: Pahang lebur rekod tanpa kalah Kuala Lumpur

Muzaffar Musa
November 13, 2021 12:11 MYT
Pahang menghidupkan peluang untuk ke pusingan kedua Piala Tun Abdul Razak 2021 selepas meleburkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur dengan kemenangan 3-2 dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil hari ini.
Kuala Lumpur terlebih dahulu di depan hasil pukulan sudut penalti Syamim Yusof pada minit ke-22.
Bagaimanapun, Pahang membalas jaringan itu dengan gol pukulan sudut penalti berganda Idris Samad, masing-masing pada minit ke-24 dan 28, untuk pasukan Pantai Timur itu berada di depan menjelang separuh masa.
Ridhwan Muzair kembali mengikat kedudukan buat Kuala Lumpur pada awal suku keempat, juga menerusi pukulan sudut penalti, sebelum jaringan padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini memutlakkan kemenangan Pahang pada minit ke-53.
Dengan kemenangan itu, saingan Kumpulan C kini kembali terbuka dengan Pahang kekal berada kelompok tiga pasukan teratas untuk mengikat enam mata bersama pendahulu, Kuala Lumpur, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan.
Dua lagi pasukan, Pulau Pinang dan Kelantan, kian terperosok di tangga bawahan selepas masing-masing hanya mengumpulkan satu mata.
Keputusan lain:
Kumpulan B:
Melaka 7-0 Kedah
Kumpulan C:
Pulau Pinang 2-2 Kelantan
Perlis 1-6 Terengganu
*Kredit foto: MHC
#Hoki #Pahang #Kuala Lumpur #Hoki Piala Tun Abdul Razak