Berdasarkan format Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), skuad hoki lelaki negara diletakkan sebagai pasukan simpanan pertama ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini bermakna jika ada pasukan menarik diri, skuad kendalian Roelant Oltmans akan ditawarkan tiket ke Tokyo.

Penularan wabak Covid-19 menyaksikan beberapa negara membantah penganjuran Julai depan dan mengancam menarik diri jika temasya tidak ditangguhkan hingga 2021.

Ironinya, kedua-dua negara mempunyai wakil dalam acara hoki lelaki.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan bersidang, bulan depan untuk menentukan status temasya - mungkin ditunda, bergantung kepada penularan pandemik Covid-19.

Kembali kepada status The Malaysian Hockey Tigers.

Jika ramalan Sukan Olimpik Tokyo ditunda hujung tahun ini, adakah Malaysia akan melangkah ke Tokyo sebagai pasukan ganti kerana berdasarkan rekod - perkara seperti ini bukan mustahil.

Piala Dunia Remaja 2016, Malaysia dipilih dua minggu sebelum kejohanan berlangsung di India selepas Pakistan menarik diri.

Bukan satu kemegahan untuk melangkah ke Olimpik atas tiket pintu belakang.

Tetapi, untuk berada pada tahap pasukan simpanan pertama dengan menghuni ranking ke-11 dunia juga memerlukan komitmen, usaha dan kualiti tinggi.

Ini juga peluang untuk menamatkan kemarau 20 tahun selepas kali terakhir skuad hoki negara beraksi pada Sukan Olimpik Sydney 2000.

Buat masa ini hanya masa saja akan menentukan.

Adakah Olimpik Tokyo akan diteruskan pada Julai, ditunda hujung tahun ini atau 2021?