Tahun lalu, apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menawarkan tempat untuk Malaysia menggantikan Pakistan dalam Piala Dunia Remaja, ramai yang menganggap ia kerja gila.

Mana mungkin boleh mencabar pasukan yang sudah buat persiapan rapi dua atau tiga tahun sedangkan Malaysia hanya mempunyai tempoh seminggu.

Akhirnya, skuad kendalian Wallace Tan menamatkan cabaran di tangga ke-11 sekali gus menjawab segala kritikan sebelum berangkat ke Lucknow, India.

Ketika itu saya yang turut membuat liputan di Lucknow, bangga apabila pemain negara membuktikan mereka memiliki asas kukuh untuk mengatasi negara seperti Austria, Jepun, Korea Selatan, Mesir dan Kanada.

Kali ini, situasi hampir sama menimpa skuad lelaki kebangsaan.

Stephen van Huizen mempunyai tempoh tiga minggu sahaja untuk memuat persiapan apabila KHM menerima jemputan FIH bagi menggantikan Kanada ke Pusingan Kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh.

Pertaruhannya, tiket Piala Dunia 2018!

Memang, Malaysia diletakkan sebagai pilihan utama apabila menghuni ranking ke-13 dunia. Namun, perlu diingatkan pencabar di Dhaka bukan calang-calang.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Oman, Fiji dan tuan rumah sementara Kumpulan B dibarisi China, Ghana, Mesir serta Sri Lanka.

Antara pasukan ini, China dan Mesir dianggap pencabar utama Malaysia.

Perlu diingatkan, dua pasukan terbaik akan dapat tiket automatik ke Separuh Akhir Liga Dunia sama ada di Afrika Selatan atau England di mana ia medan terakhir untuk memilih 16 pasukan Piala Dunia 2018.

"Kami sudah memikirkan semua aspek, berbincang dengan beberapa pihak seperti Pengarah Teknikal, jurulatih kebangsaan dan kelab.

"Mujur, semua pihak setuju bekerjasama sekali gus buka laluan untuk kami buat keputusan ini. Saya harap usaha ini dapat membantu Malaysia ke Separuh Akhir Liga Dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj.

Ada persoalan mengapa KHM bersungguh-sungguh mahu menghantar Malaysia ke Dhaka sedangkan jadual di Trinidad & Tobago akan memberi lebih banyak masa untuk Stephen mempersiapkan pasukan.

Saya melihat ia sebagai peluang keemasan untuk Malaysia kerana cabaran di Dhaka lebih mudah berbanding Trinidad & Tobago.

Seperti yang saya katakan, pencabar utama di Dhaka ialah China dan Mesir sementara halangan di Trinidad & Tobago ialah Jepun, Rusia dan tuan rumah sendiri.

Kita tahu Jepun memiliki pasukan muda yang sedang meningkat menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 sementara Rusia mempunyai rekod pernah menumbangkan Malaysia.

Trinidad & Tobago pula, masih ingat dengan Sukan Komanwel 2014?

Malaysia tewas, 2-4 hingga menyaksikan Ketua Jurulatih negara ketika itu, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, ditamatkan kontrak.

Bayangkan jika Malaysia gagal di Dhaka, apa akan berlaku terhadap Stephen?

Memang, hoki buat kerja gila, mencabar kelayakan Piala Dunia hanya dengan tiga minggu persiapan.

Hanya mereka yang benar-benar berani saja sanggup sahut cabaran ini. Mereka berani mati.