Mana tidaknya, pada usia 16 tahun dia lebih veteran berbanding sebilangan besar perseorangan wanita negara bukan sahaja daripada sudut penyertaan kejohanan kompetitif tetapi koleksi kejuaraan.

Di kejohanan berpasukan Asia di Hyderabad,India ini, Jin Wei sekali lagi cabar imaginasi saya susulan kemenangan epik dia ke atas bintang meningkat naik China, Sun Yu.

Sebenarnya tak masuk akal kalau mahu dibandingkan Jin Wei dengan Sun Yu, daripada sudut ketinggian, perseorangan China itu ibarat gergasi pada ketinggian 6 kaki disamping Jin Wei hanya 159cm.

Ranking dunia juga masih jauh berbeza 11 buat Sun Yu manakala Jin Wei yang baru berjinak di pentas senior di tangga ke-117 dunia perbezaan 106 anak tangga.

Ketika dua pemain ini berhadapan di gelanggang, imaginasi sayai mula meliar dengan membayangkan Jin Wei seperti adiwira yang dicabar gergasi dalam bentuk Sun Yu.

Dialog yang terus terpancar dalam minda saya adalah nada dalam alih bahasa kartun Jepun daripada Sun Yu yang mencabar Jin Wei dengan herdikan,"Hoi Budak Kecik"

Adegan seterusnya menyaksikan Jin Wei hanya tersenyum sambil mempamerkan semangat juang menakjubkan untuk menewaskan Sun Yu.

Tetapi realitinya, itu yang dilakukan Jin Wei apabila dia menidakkan Sun Yu dalam aksi straight sets 21-13,21-16, saya tergamam,bayangkan budak kecik daripada Malaysia ini buat salah seorang daripada bakat China tersungkur begitu mudah.

Malah pada satu ketika dalam set kedua Jin Wei ketinggalan hampir enam mata sebelum bangkit untuk memastikan, satu kesilapan buat mereka yang pernah meragui permata badminton tanah air ini.

Beraksi dengan bersahaja tanpa tekanan, tanpa emosi itulah Jin Wei, tapi jangan keliru elemen corak permainannya dengan kekurangan untuk dia membaca strategi dalam gelanggang.

Terima kasih Jin Wei kerana memberikan ruang buat saya untuk berimaginasi dan menjadi simbol inspirasi kepada Malaysia.

Saya cabar sesiapa sahaja, terutama bintang badminton dunia untuk cuba berentap dengan Jin Wei dan fikir dua kali sebelum ada yang menyapa dia dengan tiga perkataan ini, "Hoi Budak Kecik"