Ketika zaman bujang, dia digilai wanita kerana bukan saja kacak malah tangkas menewaskan lawan.

Saya pernah melalui pengalaman itu ketika menyaksikan kejohanan kebangsaan 2007 ketika beliau bertarung di final.

Beberapa wanita menjerit di tepi gelanggang beri sokongan kepada Puvaneswaran yang sedang bertarung di final kumite 55kg.

Sudah tentu hero menang dan ia gelaran juara kebangsaan kali ke-14 buat Puvaneswaran.

Namun realitinya, Puvaneswaran tewas dalam perjuangan bergelar jurulatih skuad kebangsaan.

Selepas 25 tahun menabur bakti, kontraknya tidak disambung kerana didakwa tidak sebulu dengan ketua jurulatih negara, Andris Vasiljevs dari Latvia.

Dalam pertarungan ini, Puvaneswaran tewas.

"Saya kecewa kerana Makaf (Persekutuan Karate-Do Malaysia) seolah-olah meminggirkan bekas atlit negara sendiri. Saya berhasrat membantu Malaysia meraih pingat di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Tapi, nampaknya saya hanya akan memberi sokongan dari belakang saja," kata juara Asia 3 kali itu.

Ketiadaan Puvaneswaran bermakna berakhir legasi P Arivalagan sebagai jurulatih yang berjaya melahirkan ramai atlit handalan negara.

Beliau juga senasib dengan Puvaneswaran, kontrak tidak disambung kerana masalah dalaman.

Bagaimanapun, mereka tetap dihormati di peringkat akar umbi kerana memiliki anak murid yang mencecah puluhan ribu dalam aliran Hayashi-Ha.

Malah, aliran itu berjaya mendominasi Kejohanan Karate-Do Kebangsaan, hujung tahun lalu.

Berbalik kepada skuad kebangsaan, Malaysia kini banyak bergantung kepada Syakilla Salni Jefry Krisnan untuk menyinar di pentas antarabangsa susulan penarikan diri ramai atlit senior.

Juara Asia itu menggalas reputasi sebagai ratu karate-do negara walaupun pengalaman boleh dianggap masih cetek.

Apa yang menarik, dia juga pernah mendapat didikan Puvaneswaran dan Arivalagan.

Dalam skuad karate-do negara, hero hindustan sudah tewas.

Tapi, selalunya hero hindustan akan bangkit semula kerana tahu Malaysia masih memerlukan khidmatnya.