Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, tidak menolak Lee Zii Jia mengalami keletihan mental selain berharap masalah itu mampu ditangani.

Jika Zii Jia tidak sempat pulih sepenuhnya, dia dalam satu mesej pesanan ringkas hari ini tidak menolak sekiranya anak didiknya itu mungkin tidak akan menyertai Kejohanan Master Indonesia yang bermula minggu depan.

Pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri daripada set ketiga perlawanan akhir Terbuka Hylo menentang Loh Kean Yew selepas ketinggalan 12-17 di Jerman, awal pagi tadi.

Malah, Hendrawan tidak menganggap kekalahan itu menyerlah kepincangan corak permainan Zii Jia, sebaliknya ia soal memantapkan fikirannya.

Pemain utama negara itu pada awalnya mengungguli set pertama 21-19 sebelum wakil Singapura tersebut bangkit 21-13 dalam set kedua.

Juara Seluruh England 2021 itu semakin bergelut sebelum mengambil keputusan untuk tidak meneruskan saingan berikutan mula dihantui masalah belakang badan dalam set penentuan.

"Saya sedih kerana tidak dapat menghabiskan pertarungan hari tapi saya berasakan Kean Yew telah mempamerkan permainan yang begitu baik," kata Zii Jia.