"Saya lebih rela tewas bersama pasukan Belgium yang sebegini berbanding menang dengan skuad Perancis yang bermain begitu."

Itu kenyataan daripada kapten Belgium, Eden Hazard, selepas pasukannya gagal meneruskan hasrat untuk mencatat sejarah melangkah ke final Piala Dunia buat kali pertama susulan kekalahan 1-0 di tangan skuad bimbingan Didier Deschamps itu.

Dalam bola sepak, sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel penamat, apa jua kedudukan ketika itu adalah satu keputusan muktamad.

Justeru, apa yang membuatkan Hazard mengeluarkan kenyataan begitu? Selaku seorang ketua pasukan, sepatutnya dia pasti lebih arif dan terbuka dalam menerima setiap kekalahan.



Segalanya hanyalah berpandukan kepada satu perkataan, iaitu kebanggaan.

Hazard dilihat begitu berbangga melihat prestasi pasukannya dalam saingan di Russia, terutama selepas melakar kejutan menundukkan Brazil dalam suku akhir serta mencipta kebangkitan menakjubkan sewaktu memadamkan kelebihan dua gol Jepun untuk menang 3-2 dalam pusingan kedua.

Bintang Chelsea itu mempamerkan persembahan hebat dalam aksi di Saint Petersburg apabila sering mengucar-kacirkan benteng Les Bleus yang diketuai Raphael Varane, termasuk satu percubaan deras yang ditanduk keluar oleh pertahanan Real Madrid itu ketika aksi babak pertama.

The Red Devils dilihat menguasai sebahagian besar perlawanan, meraih 63.7 peratus kawalan bola, mencipta 542 hantaran berbanding 289 yang dilakukan Perancis dan mencatat kadar 91 peratus hantaran sempurna.



Berdasarkan statistik yang disebutkan di atas, Belgium layak muncul selaku pemenang, namun harus diingat, penyudah yang tepat menjadi titik pemisah buat dua pasukan dalam sebuah perlawanan.

Perancis juga tidak kurang hebatnya apabila mencipta 18 peluang, melakukan 19 percubaan sambil lima daripadanya tepat ke arah gol yang dikawal Thibaut Courtois, sekali gus membuatkan Hazard terpaksa mengakui akan kehebatan juara 1998 itu.

"Mereka bertahan dengan kukuh dan berkesan. Kami tidak mampu mencari kelemahan Perancis. Satu keajaiban diperlukan untuk menembusi gawang mereka tetapi kami tidak menemuinya."



Secara keseluruhan, Hazard seharusnya berbangga dengan pencapaian generasi emas yang dimiliki negaranya ketika ini.

Hadir ke separuh akhir Piala Dunia dengan catatan 24 perlawanan tanpa kalah harus diangkat sebagai sesuatu yang patut menjadi inspirasi untuk Roberto Martinez terus mengorak langkah bersama Hazard dan rakan sepasukannya.

Ya, Hazard wajar berbangga walaupun tewas.