"Sebelum ini mereka tidak banyak diberi tumpuan kerana dominasi pemain utama. Tapi kali ini mereka buktikan Malaysia memiliki ramai pemain simpanan yang berkualiti tinggi".

Itu komen Ketua Jurulatih Hoki Negara, Stephen van Huizen terhadap Najmi Farizal Jazlan, Nik Mohamad Aiman Nik Rozemi, Mohd Ramadan Rosli dan penjaga gol, Mohd Hairi Abd Rahman selepas bantu Malaysia muncul juara Pusingan Kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh.

Mereka semua dari Skuad Pembangunan Hoki Negara kendalian Wallace Tan yang ditubuhkan pada 2015.

Sememangnya tidak banyak peluang diberikan kerana Stephen lebih yakin dengan pemain utama termasuk untuk menghadapi tugasan seperti di Dhaka dimana tiket ke Piala Dunia 2018 sebagai taruhan.

"Saya akan ada banyak masalah selepas pulang ke Malaysia. Tapi ia semua masalah yang diperlukan oleh mana-mana jurulatih seluruh dunia iaitu memilih pemain terbaik dikalangan terbaik.

"Selepas ini ada Piala Sultan Azlan Shah, Separuh Akhir Liga Dunia dan Piala Asia. Saya akan mengadakan perbincangan dengan barisan jurulatih negara untuk mendapatkan pandangan mereka siapa pemain yang patut dibawa menyertai kejohanan itu," katanya.

Saya melihat situasi ini sebagai ancaman terhadap pemain bintang seperti Faizal Saari, Firhan Ashaari, Mohd Haziq Shamsul dan penjaga gol, S Kumar.

Mereka tidak boleh leka kerana ada ramai pemain mampu mencabar posisi mereka. Silap langkah, bintang ini akan jatuh pangkat ke dalam Skuad Pembangunan Negara.

Satu lagi perkara, saya harap Malaysia tidak perlu lagi beraksi pada Pusingan Kedua Liga Dunia kerana taraf kita terlalu tinggi.

Bayangkan semua pasukan jadi belasahan dalam laluan ke final kecuali China yang berjaya mengheret perlawanan ke penalti shoot out.

Malaysia menang, 5-3 namun perlu diingatkan, China tewas di tangan pasukan yang menurunkan deretan pemain simpanan. Jika pemain utama diturunkan?

Peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), 12 pasukan terbaik dunia tidak perlu menyertai Pusingan Kedua Liga Dunia dimana Malaysia menghuni ranking ke-13.

Jika layak ke Piala Dunia dan menaiki podium Piala Asia, saya yakin Malaysia tidak perlu lagi mencabar kejohanan itu kerana sudah berada dalam kelompok pasukan elit dunia.

Ada lebih kurang tiga bulan lagi untuk buat persiapan ke Separuh Akhir Liga Dunia sama ada di England atau Afrika Selatan, tempoh yang cukup singkat.

Jadi untuk pemain senior, hati-hati. Posisi anda boleh dirampas bila-bila masa saja.