Peminat bola sepak secara amnya dan peminat tegar Liverpool khususnya pasti sudah mengetahui bahawa jendela perpindahan pemain telah ditutup pada 31 Ogos yang lalu.

Beberapa perpindahan besar telah berlaku antaranya perpindahan termahal dunia melibatkan Neymar dari Barcelona ke PSG, dan Kylian Mbappe dari Monaco juga ke PSG. Namun ada juga perpindahan yang tidak menjadi antaranya melibatkan Alexis Sanches dan juga Philippe Coutinho.

Dayang bukanlah peminat setia pasukan Liverpool, namun selain Ozil, Dayang turut tertarik membicarakan mengenai pemain kelahiran Brazil, Philippe Coutinho.

Pemain berusia 25 tahun itu dikhabarkan begitu mendambakan untuk beraksi bersama Barcelona sehingga menghantar permohonan rasmi kepada pengurusan Liverpool untuk meninggalkan kelab The Reds. Tidak cukup dengan itu, Barcelona turut memberikan tawaran lumayan untuk membeli Coutinho namun ianya ditolak mentah-mentah oleh pengurusan Liverpool.

Urusan penjualan dan pembelian Coutinho membabitkan kedua-dua pasukan itu berterusan hinggalah pintu jendela perpindahan ditutup dan akhirnya Coutinho akur tidak dapat berhijrah ke pasukan baru.

Persoalan yang timbul kini, adakah Coutinho akan bermain bola sepak di Liverpool dengan rela hati atau terpaksa? Terdahulu, untuk musim 2017/18 Coutinho masih belum membuat sebarang penampilan bersama Henderson dan rakan-rakan di atas padang atas alasan kecederaan, namun beliau dalam masa sama menyertai rakan-rakan dalam pasukan kebangsaan serta beraksi dan meledakkan jaringan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

Dahulu ada khabar angin mengatakan almari Coutinho di bilik persalinan juga telah dikosongkan, adakah ianya akan kembali diisi semula dalam masa terdekat?

Ya, ianya telah diisi semula. Coutinho telah beraksi sebanyak enam kali bersama Liverpool selepas jendela perpindahan ditutup, namun ianya berakhir dengan empat keputusan seri, satu kemenangan dan satu kekalahan.

Secara peribadi, Dayang merasakan tiada keperluan buat Jurgen Kloop menyimpan pemain yang tidak mahu beraksi buat pasukan. Apalah kiranya andai seorang pemain tidak mampu memberikan 100% sewaktu beraksi buat lencana di dada ?

Adalah lebih baik menjual seorang pemain dan membeli dua atau tiga pemain muda baru yang boleh digilap untuk menyinar. Lagipun, Liverpool dilihat mempamerkan prestasi terbaik dalam tiga perlawanan liga tanpa Coutinho termasuk menumbangkan Arsenal dengan keputusan 4- 0.

Perenggan di atas adalah pandangan peribadi Dayang, yang mana ianya tidak lagi penting selepas Liverpool bertekad tidak mahu menjual Philippe Coutinho. Namun persoalannya masih sama. Adakah Coutinho akan bermain bersama Liverpool dengan rela hati atau terpaksa?