"Saya tidak pernah terfikir untuk menyarung lilitan di lengan kerana keutamaan adalah bantu pasukan di Lubnan."

Itu luahan penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, sehari sebelum berlepas ke Beirut, ketika dikerumuni wartawan sebaik namanya berada dalam sembilan senarai 'last minute' yang dipanggil ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Siapa sangka, nama Zaquan menjadi pilihan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang memberi penghormatan kepada pemain Kuala Lumpur ini mengetuai pasukan menjelang aksi akhir Kelayakan Piala Asia 2019.

Beberapa nama lain seperti Matthew Davies yang konsisten bersama skuad negara dan juga bekas penjaga gol no.1 negara, Khairul Fahmi Che Mat, yang pernah diberi tugasan selaku kapten pasukan ketika dulu turut berada dalam senarai pilihan kapten negara, namun Zaquan nampaknya memiliki kredibiliti tersendiri yang berjaya memenuhi kriteria Cheng Hoe untuk mengepalai skuadnya.

Menyelusuri perjalanan karier Zaquan selaku pemain kebangsaan, nasibnya tidak secerah abang kembarnya Aidil Zafuan Abdul Radzak kerana sejak 2009 lagi, Zaquan sering berhadapan masalah kecederaan tiap kali berhadapan misi negara.

Bermula dengan masalah sakit mata dalam Sukan SEA Laos 2009, Zaquan terpaksa dihantar pulang ke Malaysia, selain tiga kali kecederaan lutut ACL menjadikan namanya jauh terpinggir daripada kelompok pemain negara.

"Benar, nasib saya selalu malang tiap kali menjelang pemilihan kem latihan kebangsaan, ada sahaja yang tidak kena dan pernah pada satu ketika saya berfikir mungkin kelibat saya tidak serasi dengan skuad negara."

"Selepas 10 tahun kecewa tanpa kejayaan bersama skuad negara, nama saya dipanggil lagi, kali ini saya nekad cipta sesuatu untuk negara selain mahu buktikan saya masih relevan untuk skuad ini walaupun di usia 32 tahun."

Kali terakhir penampilan Zaquan bersama skuad negara dalam Kejohanan AFF 2016, namun dia bukanlah watak penting dalam pasukan selain pencapaian negara ketika itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Mungkin badi Zaquan bakal terhapus di bumi Beirut, sinonim dengan kelibat jurulatih yang bertanggungjawab menaikkan nama Zaquan, iaitu Aminuddin Hussin di peringkat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Cheng Hoe sendiri di peringkat kebangsaan.

Keterampilan semasa Zaquan dalam saingan liga memang tidak boleh disangkal dan daripada kematangan yang telah dibuktikan pemain ini tidak hairan dia diberi penghormatan untuk muncul selaku kapten buat kali pertama untuk skuad negara.

Demi lencana di dada, selamat maju jaya kapten & barisan Harimau Malaya!