Tamat Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2018 menyaksikan Fatehah Mustapa mengutip dua pingat perak, masing-masing acara keirin dan pecut individu wanita elit.

Lebih manis, dia hanya melakukan segala persiapan secara seorang diri di tanah air dan berjaya menewaskan rakan-rakan senegara yang berada dalam kelompok elit, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosdi.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat meraih dua pingat perak di sini, selepas pulang dari Kejohanan Piala Trek Asia di India bulan lalu, saya mengalami kecederaan.”

Walaupun kejohanan ini tidak mempunyai status yang gah, namun kejayaan merangkul pingat di sini sudah cukup mengembalikan moral Fatehah yang teruk dikritik pelbagai pihak ekoran prestasinya yang menurun sehingga namanya digugurkan daripada Sukan Asia Indonesia 2018.

Tatkala Fatehah dilihat kembali meraih momentumnya semula, ketua jurulatih, John Beasley, berpandangan sebaliknya.

Dia menjelaskan Fatehah akan mengharungi musim yang sukar apabila kejohanan kompetitif seperti Siri Piala Dunia Berbasikal Trek akan bermula nanti. Fatehah dijadual beraksi di Saint Quentin en Yvelines, Perancis bermula 19 Oktober depan, kemudiannya ke Milton, Kanada pada 26 Oktober. Dua lagi siri di Berlin dan London masih dalam pertimbangan.

Harus diingat, kesemua Siri Piala Dunia ini menawarkan mata untuk bantu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Dia berkata kepada saya yang dia mahu memberikan komitmen semula dan saya akan berpegang dengan janjinya untuk membantu dia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo, tapi dengan syarat dia perlu menunjukkan kembali keinginan yang tinggi.”

Fatehah sebelum ini menjelaskan dia memilih berlatih di Malaysia kerana mahu menjaga bapanya yang sakit selain ketika itu mengalami kecederaan pergelangan tangan sekitar Mei lalu.

Dengan misi untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo 2020, apakah berlatih di Malaysia sudah memadai buat Fatehah untuk kekal kompetitif dengan barisan pelumba terbaik dunia?