Ketika arena sukan negara kecoh dengan perebutan kuasa pegawai persatuan sukan kebangsaan, seorang peninju profesional sedang bertarung merebut Tali Pinggang WBA Asia kategori cruizerweight (bawah 90kg).

Peninju negara, Mohd Farkhan Haron (Harimau Selatan) akan berdepan wakil Indonesia, Alexander Bajawa (The Black Horse) di Pattaya, Thailand.

Hanya beberapa rakan mengiringi perjuangan Farkhan termasuk ketika lulus proses menimbang berat badan.

"Saya sudah sedia. Segalanya mengikut perancangan walaupun agak sukar menurunkan 6kg dalam tempoh kurang dua minggu.

"Saya yakin untuk menewaskan Bajawa dan berharap, ia kemenangan KO," kata Farkhan.

Peninju kelahiran Johor itu pernah menewaskan Bajawa, tahun lalu dan 'rematch' ini untuk merebut tali pinggang keempat kariernya.

Farkhan memiliki rekod 9-0-0 sementara Bajawa lebih berpengalaman dengan 43-8-4.

Jadi, peninju berusia 31 tahun itu perlu bijak menggunakan kelebihan saiz dan stamina untuk mencipta satu lagi kemenangan penting dalam kariernya.

Saya fikir Farkhan memiliki peluang lebih baik apatah lagi dia pernah menewaskan Bajawa. Lagipun, fitrah alam kuda mangsa harimau.