Bagi sebuah negara musim Khatulistiwa yang tidak ada secebis sejarah besar dalam sukan musim sejuk, sudah ada dua wakil negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, Februari depan.

Lagi lima bulan, peluncur salji Alpine, Jeffrey Webb dan Julian Yee, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dalam acara luncur ais berdansa, bakal menyarung jersi negara di banjaran Taebaek.

Jeffrey, anak kacukan Amerika-Melayu yang berpangkalan di Seattle, Washington dan berjinak-jinak dengan sukan luncur salji sejak berusia 8 tahun, menduduki tangga ke-10 acara slalom dan ke-15 dalam giant slalom di Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo, Jepun, Februari lalu.

Di Sapporo, Jeffrey ditemani seorang lagi peluncur salji, Othman Mirzan, yang mewakili Malaysia dalam Kejohanan Dunia Luncur Salji Alpine FIS di St Moritz, Switzerland, beberapa minggu sebelum itu.

Mereka adalah antara 35 atlet yang membentuk kontinjen negara ke Sapporo yang terdiri daripada peserta dari sukan hoki ais, luncur ais berdansa, luncur ais pecut (short track) dan luncur salji.

Sejak Malaysia diwakili dalam Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk di Norway pada 2016 oleh peluncur ais berdansa, Chew Kai Xiang, senario atlet musim sejuk menunjukkan petanda positif.

Kejayaan skuad negara mengutip lima emas di Sukan SEA Ogos lalu sedikit sebanyak menaikkan profil atlet musim sejuk.

Keinginan anak-anak muda Malaysia mengharumkan nama negara dalam apa saja bidang sekalipun harus digalakkan.

Senario atlet musim sejuk ini, khususnya peluncur salji alpine, mengingatkan penulis kepada filem Good Luck Sam yang mengisahkan watak seorang warga Perancis Sami Bouajila yang berusaha keras mencari tempat dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan mewakili negara kelahiran bapanya yang berasal dari Algeria.

Bergelut untuk menghidupkan perniagaan peralatan luncur salji, Sami atau Sam terpaksa berusaha keras menjaja bakat untuk mencari tajaan.

Berbeza dengan Sam, realiti sukan musim sejuk negara membabitkan anak muda kelahiran Malaysia yang menuntut atau bermastautin di luar negara tetapi tidak melupaka tanah tumpahnya darah mereka.
Mereka generasi milenial yang tidak melupakan asal-usul.

Dengan berbekalkan hashtag #harimausalji, kita doakan semoga mereka berjaya!


Gambar kredit: https://asiancorrespondent.com