Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila terdapat berita ada pasukan enggan lepaskan pemain mereka bersama skuad Bawah 22 tahun ke pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 tahun yang akan berlangsung di Bangkok pada 19-23 Julai ini.

Ditambah tiada sebarang tindakan akan dikenakan kepada mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab jika enggan lepaskan pemain maka tidak hairanlah kebanyakan pasukan ambil sikap lewa terhadap kepentingan negara.

Buat masa ini secara lisan difahamkan lapan daripada 26 pemain tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing untuk sertai sesi latihan bermula 5 Julai ini atas alasan pemain-pemain berkenaan merupakan watak utama dalam pasukan selain jadual padat sebagai fakta sokongan.

Apa yang terjadi sememangnya sudah diduga malah babak sama akan berulang pada tahun-tahun akan mendatang ditambah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih jalan berdiplomasi atas hal ini.

Maka, timbul di sini adakah tindakan membubarkan skuad Harimau Muda pada dua tahun lalu benar-benar bertepatan dan adakah sudah sampai masanya pasukan ini diwujudkan semula?

Memang formula kewujudan Harimau Muda menjadi debat utama selepas kegagalan meraih pingat emas di dua sukan SEA terakhir tetapi jangan lupa kejayaan tercipta di Sukan SEA Indonesia pada 2011.

Malah skuad Harimau Muda pada waktu itu juga berjaya melangkah ke pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012 serta menjadi antara 12 pasukan terbaik Asia bagi pasukan Bawah 23 tahun.

Biarpun skuad ini dilanda kemerosotan selepas tahun berkenaan, namun itu tidak wajar dijadikan alasan pembubaran Harimau Muda kerana melalui platform itu, pemain-pemain muda negara mendapat lebih banyak pendedahan.

Sebelum ini, mungkin ramai sudah terlupa semasa pasukan Bawah 22 tahun negara dimalukan 0-3 kepada Vietnam pada 7 Februari lalu, masalah pengumpulan pemain terlalu lewat jadi punca utama mengapa skuad negara gagal peragakan aksi terbaik di atas padang.

Paling ketara, dua pemain Felcra FC pada waktu itu, Adib Zainuddin dan N.Thanabalan hanya dilepaskan sertai skuad negara pada waktu pelepasan ke Ho Chi Minh di lapangan terbang kerana komitmen bersama pasukan yang menyebabkan kebanyakan pemain `pancit’ ketika beraksi.

Mungkin drama yang sama akan terus dilihat selepas ini memandangkan perlawanan kejohanan bawah umur atau persahabatan tidak berada di bawah kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), maka nasib skuad Bawah 22 tahun negara akan terus dianak tirikan.

Diharapkan pertimbangan mewujudkan semula skuad Harimau Muda menjadi salah satu formula kepada penyelesaian jangka panjang kepada barisan kejurulatihan dan FAM agar masalah sama tidak akan terjadi.