Si Harimau bersedia hadapi Si Gajah?

Malaysia dan musuh tradisi, Thailand akan bertarung habis-habisan di atas padang dalam separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018.


Bola itu bulat.

Namun, kehebatan pasukan bola sepak Thailand perlu diakui dan dihormati Malaysia, tetapi jangan sesekali ditakuti.

Diangkat sebagai gergasi bola sepak Asia Tenggara, Thailand telah lima kali menjuarai Piala AFF selain memenangi 16 pingat emas Sukan SEA termasuk layak sebanyak dua kali ke
Sukan Olimpik.

Malaysia di ranking ke-169 dunia (48 tangga di bawah Thailand) masih berusaha untuk
mengulangi kegemilangan bola sepak yang digarap Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,
Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh.

Satu-satunya kejuaraan Malaysia di Piala AFF adalah pada edisi 2010 selepas menumpaskan satu lagi musuh tradisi, Indonesia, 4-2 dalam aksi final.

Demam Piala AFF juga menyaksikan pandangan para peminat cukup positif di laman sosial Astro Arena.

Tabik dengan semangat patriotik rakyat Malaysia.

Pada masa sama, timbul keinginan penulis untuk ‘mengorek’ rekod pertemuan
antara Malaysia dan Thailand dalam Piala AFF.

Fakta:
1. Thailand juara 5 kali dan Malaysia sekali.
2. Bertemu 11 kali dalam peringkat kumpulan, separuh akhir dan akhir.
3. Malaysia menang 2 kali pada edisi 2002 dan 2004/2005 dalam aksi peringkat kumpulan dan seri 2 kali pada 1996 dan 2010, manakala Thailand menang sebanyak 7 kali.
4. Gajah Perang menewaskan Harimau Malaya di separuh akhir edisi 2000 dan 2012
serta 2 kali di final 1996 dan 2014.
5. Pada 2016, Thailand muncul juara dan Malaysia tidak layak ke separuh akhir.
6. Prestasi terkini 2018, setakat ini penjaring gol terbanyak dengan 8 gol ialah
penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn. Malaysia mempertaruhkan
harapan kepada penjaring 4 gol dan 3 gol, Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan
Adha Abdul Radzak.

Dari segi statistik memang berpihak kepada Thailand.

Sekali lagi, bola itu bulat.

Apa yang pasti, anak buah Tan Cheng Hoe pantang mengalah sebelum berperang.

Pengendali Gajah Perang, Milovan Rajevac, pula mendakwa pasukannya tidak gentar
berdepan Harimau Malaya dan pemain ke-12nya.

Tunggu apa lagi, jom gempur Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8.45
malam, Sabtu ini, untuk aksi separuh akhir pertama Malaysia lawan Thailand dengan harapan langkah kanan apabila bertandang ke Bangkok, 5 Disember nanti.