Kerisauan Tan Cheng Hoe di barisan serangan sebelum pertemuan menentang Timor Leste akhirnya terjawab semalam apabila sentuhan penyudah yang begitu tajam dipamerkan Harimau Malaya dengan jumlah jaringan yang besar (7-1).

Apabila wisel permulaan dibunyikan, Harimau Malaya terus memberi tekanan kepada lawan dan di minit ke-12, mereka berjaya melakukan jaringan pertama melalui pemain pertahanan kiri, Corbin Ong, yang menerima umpanan tepat daripada Safawi Rasid.

Jaringan pembukaan itu terus menyemarakkan semangat pemain Harimau Malaya untuk terus memburu jaringan dan di minit ke-23, Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan gol kedua apabila berjaya menerima hantaran lintang daripada Matthiew Davies di sebelah kiri pintu gol Timor Leste.
Setelah gol kedua diperoleh, pemain negara tidak memperlahankan rentak permainan, sebaliknya terus mendominasi permainan dengan hantaran-hantaran pendek serta gerakan secara berperingkat sebagaimana falsafah bola sepak yang diinginkan Cheng Hoe.

Walaupun menguasai permainan dengan selesa, namun pemain Harimau Malaya tidak menunjukan sikap yang negatif, sebaliknya mengekalkan perwatakan mereka di atas padang yang inginkan kemenangan (winning mentality) dan di minit ke-43, Norshahrul Idlan Talha yang berjaya menunjukan persefahaman yang baik bersama Safawi akhirnya menjaringkan gol ketiga melalui rembatan di dalam kawasan penalti.

Sikap begini perlu dipuji kepada pemain-pemain Harimau Malaya dimana berjaya memainkan peranan dan tugasan dengan begitu baik yang mana dapat melaksanakan perancangan yang telah diatur oleh jurulatih mereka (Cheng Hoe) dan sebelum separuh masa pertama ditamatkan Safawi Rasid pula melakukan jaringan keempat Harimau Malaya melalui kombinasi yang sempurna bersama Mohamadou Sumareh.

Dalam separuh masa kedua, pemain Harimau Malaya terus mengaum untuk memburu jaringan dan akhirnya berjaya menambah tiga lagi gol melalui Safawi, Faiz Nasir dan Akhyar Rashid.

Begitulah rakusnya sikap pemain Harimau Malaya apabila berjaya menewaskan Timor Leste 7-1 dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Asia 2023. Sikap beginilah yang ditagih oleh peminat-peminat dimana tiada sikap belas ehsan dan ia membuatkan pemain Harimau Malaya raya sakan bersama penyokong semalam.

Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial