Pertemuan menentang Nepal merupakan ujian sebenar kepada Tan Cheng Hoe untuk menguji keserasian dan persefahaman yang mantap selain dapat mempraktikkan strategik dan taktikal yang diterapkan kepada anak buahnya, sebagaimana yang semua maklum terdapat beberapa muka baru disenaraikan oleh pengendali itu seperti Corbin Ong.

Apa yang dipamerkan oleh anak buah Cheng Hoe ketika bertemu Nepal semalam boleh dianggap memuaskan. Dengan menguasai permainan melalui gerakan-gerakan yang tersusun mengunakan setiap bahagian dengan hantaran-hantaran pendek. Namun, masih ada lagi ruang untuk diperbaiki terutama dibahagian tengah dan serangan.

Pemain tengah seperti Akhram Mahinan, Abdul Halim Saari dan Nor Azam Azih perlu lebih kreatif dan bijak dalam mengawal tempo permainan untuk memastikan pemain-pemain hadapan mencari ruang bagi memburu jaringan. Selain itu, barisan tengah juga perlu berani mengambil risiko dalam membuat gerakan berani untuk meletak diri dalam kawasan penalti serta mencipta elemen kejutan kepada lawan.

Sementara bahagian serangan dan sayap pula perlu mempertajamkan penyudah sekiranya ingin mencipta kemenangan ketika bertemu Timor Leste nanti. Syafiq Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid dan Syazwan Zainon perlu lebih bijak membuka ruang larian serta banyak mengunakan kemahiran individu bagi memperdayakan pertahanan lawan.

Di bahagian pertahanan pula, ia merupakan gandingan yang terbaik dimiliki Cheng Hoe. Dengan kehadiran Corbin bersama Shahrul Saad, Adam Nor Adlin dan Matthew Davies ia melihatkan kemantapan dalam menghalang serangan lawan kerana mereka ini bijak dalam membaca permainan serta mempunyai bentuk fizikal yang mantap. Selain itu, mereka juga mempunyai kelebihan dalam membantu serangan. Diharapkan Cheng Hoe dan anak buahnya dapat meningkatkan prestasi mereka ketika menentang Timor Leste nanti.

Kemenangan menentang Nepal itu sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan pemain negara untuk terus memberikan aksi yang lebih mantap kerana mereka berada dalam mood terbaik.

Kredit foto: Facebook FA Malaysia