Bergegar seketika arena olahraga Malaysia mendapat perkhabaran ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli memecah rekod 100m kebangsaan dengan catatan 11.36s pada satu kejohanan di Afrika Selatan.

Saya sempat menaikkan status "kejayaan" itu dalam laman Facebook dan mendapat ratusan "like".

Ramai yang mengucapkan tahniah.

Mana tidaknya, sejak G. Shanti melakukan 11.50s pada Kejohanan Trek dan Padang Asia 1993, tiada siapa mampu mencabar catatan itu dalam tempoh 24 tahun ini.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi Zaidatul apabila tolok angin mencatat bacaan 2.5m/s sekaligus catatan 11.36s tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan.

Saya sempat menghubungi Zaidatul di Afrika Selatan dan dia tetap bersikap positif.

"Saya terkejut dengan catatan ini. Namun, apakan daya nasib tidak menyebelahi. Saya akan cuba lagi memecahkan rekod ini," katanya.

Jurulatih pecut negara, M Balamurugan: "Dia seorang atlit yang bekerja keras. Walaupun catatan tidak diiktiraf, namun ini petanda positif.

"Saya yakin rekod G Shanti akan dipecahkan tidak lama lagi," katanya.

Sikap positif ini penting dalam kem pecut negara yang berkampung di Afrika Selatan hingga April depan.

Saya masih ingat bagaimana pelari sensasi negara, Badrul Hisham Abd Manap menggegar negara dengan catatan 10.29s ketika merangkul emas 100m Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Asean 2015 di Brunei.

Walaupun catatan itu tidak diiktiraf kerana masalah teknikal tolok angin, namun ia menghidupkan aura positif dalam skuad pecut negara.

Tidak lama kemudian, rakan sepelatih, Khairul Hafiz Jantan berjaya memecah rekod kebangsaan milik pelari legenda, Watson Nyambek dengan 10.18s ketika menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Ia hanya dimulakan dengan larian sensasi yang tidak diiktiraf ekoran masalah teknikal. Namun, aura positif yang dibawa peritiwa itu menyaksikan rekod itu akhirnya dipecahkan.

Saya percaya, Zaidatul sedang diberi tekanan dan saingan oleh rakan sepelatih, S Komalam Shally, Siti Fatimah Mohamad dan Nurul Faizah Asma Mazlan. Persaingan sihat itu akan bantu mereka memecah rekod Shanti.

Jadi, setakat ini rekod 100m negara masih milik Shanti.

Mohon bertenang semua walaupun arena olahraga Malaysia terutama di negeri kelahiran Zaidatul, Pulau Pinang khabarnya sudah mula bersiap-sedia untuk meraikan kejayaan pelari Olimpik Rio itu.

Sedikit masa lagi rekod itu pasti akan dipecahkan. Rekod bukan untuk dipegang tapi dipecahkan!