Desas-desus siapakah pengganti jawatan ketua jurulatih Pulau Pinang mungkin terjawab tidak lama lagi. Ini berikutan penamatan kontrak Ashley Westwood yang gagal menghasilkan keputusan positif buat skuad Harimau Kumbang.

Biarpun Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) masih belum mengumumkan siapakah pengganti buat masa sekarang, ada ura-ura mengatakan bahawa tenaga jurulatih tempatan akan dipilih dan nama yang paling disebut-sebut adalah Azraai Khor Abdullah.

Ini ditambah pula senarai pemain Pulau Pinang kini sebahagiannya adalah bekas anak buah Azraai suatu ketika dahulu selain suasana di Pulau Pinang dan Kedah yang tidak jauh berbeza.

Sumber daripada Harian Metro turut menyatakan bahawa Azraai dikatakan amat berminat untuk kembali ke kancah Liga Super, namun menegaskan ia perlu bersyarat yang pastinya tidak digemari pihak pengurusan FAP.

Syarat pertama ialah Azraai mahukan kebebasan 100 peratus dalam mengendalikan hal pasukan.

Persoalannya, mampukah pihak pengurusan tidak masuk campur dalam hal pemilihan pemain sama ada tempatan mahupun import, sesi latihan dan juga taktikal perlawanan?

Mampukah pihak pengurusan statik untuk kali ini bagi memberi ruang kepada individu yang sepatutnya merencana pasukan?

Syarat kedua pula, Azraai mahukan kerjasama semua pihak bagi melancarkan tugas beliau. Ia bermaksud Azraai mahukan semua pihak terlibat tidak mendatangkan masalah kepada pasukan seperti tunggakan gaji, isu keganasan penonton dan apa sahaja yang mampu menggugat prestasi semasa skuadnya.

Kedua-dua syarat diatas sebenarnya adalah asas dalam membina sebuah pasukan yang mantap, namun ia dilihat amat berat sekali jika dinilai keadaan semasa pengurusan FAP yang gemar masuk campur dalam hal ehwal kejurulatihan, seolah-olah mereka mempunyai lesen kelas A.

Siapapun yang dipilih nanti, apa yang diinginkan hanyalah kejayaan dan keputusan positif dalam aksi di atas padang memandangkan Pulau Pinang baru sahaja naik ke saingan Liga Super setelah lama tidur nyenyak di kancah liga bawahan.