Gold Coast menyahut cabaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2018 dengan upacara pembukaan gilang gemilang menyaksikan maskot Borobi mendampingi 71 kontinjen yang akan berjuang habis-habisan dalam merebut 275 pingat emas yang ditawarkan.

Kali ke-5 Australia yang terkenal dengan budaya sukan diberi penghormatan menganjur Sukan Komanwel selepas kali terakhir di bandar Melbourne pada 2006.

Dari 4 sehingga 15 April, bandar Gold Coast ‘Surfer’s Paradise’ yang merupakan salah satu destinasi perlancongan utama di dunia juga terkenal dengan pantai mereka akan menjadi tumpuan dunia apabila atlet terbaik dari negara yang pernah dijajah oleh Britain akan bersaing sengit, selain mencatat rekod berlangsungnya acara paralimpik terbanyak dalam Sukan Komanwel.

Juara keseluruhan di Glasgow empat tahun lalu, England akan menjadi pencabar paling sengit Australia untuk merampas kembali status itu setelah kedudukan tuan rumah sejak penglibatan pertama pada 1930, kesemuanya ditempat lima terbaik dengan 12 kejuaraan keseluruhan.

Kontinjen Malaysia pula yang berpakaian baju Melayu dan baju kurung merah dan biru berarak masuk dengan megahnya dalam penyertaan ke-13 dalam temasya terbesar selepas Sukan Olimpik, diwakili 178 atlet memburu tempat 10 terbaik dengan misi rangkul lebih dari enam pingat emas yang diperolehi pada edisi 2014 lalu.

Walaupun dari segi pencapaian pingat emas, Malaysia masih kerdil dengan 52 pingat emas sejak temasya 1966 dibanding Australia yang mendominasi pungutan pingat emas terutamanya di kolam renang telah mengumpul 856 pingat emas, pasukan negara diketuai pembawa bendera atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail bersama prospek pingat emas antaranya Lee Chong Wei, Nicol David, Azizuhasni Awang dan Ooi Tze Liang positif mengibarkan jalur gemilang.

Program Podium yang bertanggungjawab membantu atlet elit mencapai keputusan cemerlang di pentas antarabangsa setelah berbelanja berjuta ringgit akhirnya berpeluang menjawab kepada rakyat Malaysia selepas temasya ini, sama ada program yang dipelopori oleh Institut Sukan Negara ini berjaya atau gagal.

Apapun buat masa ini, marilah kita membawa kembali semangat patriotism dan magis Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur dan menyokong kontinjen negara di bumi Gold Coast.