"Ia hanya kejohanan antara kelab, jangan terlalu serius".

Itu antara perbualan saya bersama jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh menjelang aksi terakhir Kejohanan Hoki Empat Penjuru di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mereka menentang juara China, Inner Mongolia yang begitu dahagakan kejuaraan peringkat antarabangsa.

"Coach mesti menang, ini soal maruah hoki Malaysia. Walaupun hanya kejohanan kecil, kita tidak boleh tewas kepada kelab China.

"Reputasi Malaysia perlu dijaga, warga hoki Malaysia pasti tidak boleh terima jika juara Malaysia tewas di tangan juara China," kata saya.

Sarjit tersenyum penuh makna.

Kejohanan antara kelab tidak begitu gah dalam arena hoki antarabangsa.

Maybank pernah mewakili Malaysia pada kejohanan sama 1994.

Ernst & Young pula muncul juara Trofi Juara Kelab-Kelab Asia 2007 selepas menumbangkan juara Pakistan pada final di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Ia kali terakhir kelab Malaysia menggegar hoki Asia - gelaran yang diidamkan Inner Mongolia.

Inner Mongolia nampak begitu serius menghadapi Kejohanan Empat Penjuru ini apabila menghabiskan masa 40 hari berlatih di Malaysia.

Mereka turut melantik jurulatih legenda Korea, Kim Sang Ryul sebagai Pengarah Teknikal.

Sang Ryul membimbing Korea raih pingat perak Sukan Olimpik Sydney 2000, pencapaian terbaik dalam sejarah hoki negara itu.

Beliau juga pernah dikaitkan sebagai calon pengendali skuad kebangsaan pada 2012 sebelum tempat itu jadi milik Paul Revington.

Mereka akan pulang ke China pada 31 Disember dan menyertai satu kejohanan domestik pada Januari. Jika muncul juara, mereka akan mewakili China ke pusingan kedua Liga Dunia di Bangladesh, Mac depan.

Jadi harapan dibahu THT untuk menghalang Inner Mongolia, sebuah kelab kecil dengan impian yang besar.