Ketika ini, kita sudah pun mempunyai beberapa atlet bertaraf dunia dan sudah pun berupaya meraih pingat di peringkat Sukan Olimpik.

Namun, bagi penulis temasya Sukan SEA sentiasa mengembalikan beberapa detik bersejarah yang pernah penulis sendiri menjadi saksi sama ada sebagai wartawan bertugas atau pun sebagai peminat ketika bergelar pelajar sekolah serta IPTS.

Paling yang sentiasa penulis ingati ialah temasya Sukan SEA membabitkan acara final bola sepak pada edisi 1989 yang turut berlangsung di Kuala Lumpur.

Meskipun masih berada di bangku sekolah rendah ketika itu, penulis bersama dengan beberapa rakan dan saudara sanggup meredah hujan menyaksikan pertembungan Malaysia-Singapura di Stadium Merdeka pada malam 31 Ogos 1989.

Sehingga hari ini, penulis masih ingat semangat juang barisan negara yang diterajui pemain seperti Ahmad Yusof, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Mat Zan Mat Aris dan juga Lim Teong Kim.

Barisan negara mendahului seawal minit kelapan apabila pertahanan Singapura, Allahyarham Borhan Abu Samah, tertampan bola ke gawangnya sendiri untuk Malaysia mendahului.

Ketika babak pertama berbaki enam minit, legenda Singapura Fandi Ahmad mengejutkan kira-kira 40,000 peminat tempatan di Stadium Merdeka apabila meraih jaringan penyamaan dengan melakukan sepakan gunting yang menewaskan benteng akhir negara, Rashid Hassan.

Semangat pemain negara tidak luntur dengan jaringan Fandi itu, sebaliknya Teong Kim dan Dollah berjaya menemui sasaran di babak kedua untuk mengesahkan emas bola sepak keempat negara di Sukan Sea.

Walaupun Indonesia muncul juara keseluruhan,kejayaan skuad bola sepak meraih emas ke-67 yang juga ibu segala pingat emas, disambut meriah peminat bola sepak tempatan.

Selepas temasya 1989, penulis berpeluang menyaksikan satu lagi aksi final bola sepak Sukan SEA pada temasya 2001, namun ia berakhir dengan kekalahan 1-0 skuad negara kepada Thailand pada aksi final.

Peminat tempatan terpaksa menanti 20 tahun untuk emas bola sepak seterusnya pada edisi 2009 di Laos dibawah kendalian Datuk K Rajagobal dan Datuk Ong Kim Swee kemudian mengulangi kejayaan itu pada 2011 di Jakarta.

Penulis berharap, temasya Sukan Sea 2017 kali ini akan menyaksikan sejarah 1989 berulang dan bukannya duka 2001 di laman sendiri.

Lebih manis, jika sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan diraih kontinjen negara dengan bola sepak, menjadi emas terakhir dimenangi pasukan negara.