Sedih melihat nasib Perlis selepas pasukan itu dihumban daripada Liga Malaysia musim ini.

Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysian (MFL) pada Rabu lalu sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan skuad Singa Utara dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai setelah Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) gagal membuktikan kemampuan untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini terutama selepas berdepan isu tunggakan gaji.

PFA, bagaimanapun, mempunyai tempoh tujuh hari bermula pada Rabu lalu untuk proses rayuan itu, dengan syarat mereka perlu membuktikan kesahihan terhadap dokumen kewangan persatuan.

Tempoh rayuan itu adalah prosedur biasa selepas sebarang keputusan dibuat tatkala MFL membayangkan PFA hanya memiliki peluang tipis untuk menyakinkan kembali ahli lembaga pengarah MFL untuk menarik balik hukuman ke atas Perlis.

Jadi, ia boleh dianggap sudah berakhir dan kesudahan mengenai 'drama' ini amat menyedihkan untuk bola sepak negeri Perlis terutama pemain dan jurulatih pasukan itu yang dikatakan tidak menerima satu sen pun duit daripada PFA.

Beberapa pemain berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak mempunyai pasukan yang menyebabkan mereka terpaksa berehat buat seketika.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie, yang hilang entah ke mana ketika ini sememangnya harus bertanggungjawab dalam hal ini.

Namun, apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur dan seharusnya ia dijadikan sebagai pengajaran buat semua pihak terutama kepada MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Diharapkan selepas ini tiada lagi pasukan 'gula-gula getah' dalam Liga Malaysia kerana manisnya hanya sekejap dan pahitnya cukup lama. Akhir kata, semoga segalanya dipermudahkan buat pemain Singa Utara.