Satu tarikan tersendiri melihat senarai pemain yang berkumpul jalani latihan pasukan kebangsaan kali ini dengan adanya tonggak naturalisasi pertama, Mohamadou Sumareh.

Bukan itu sahaja, sekembalinya Norshahrul Idlan Talaha juga jadikan pilihan di barisan serangan semakin bertambah buat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam turun hadapi Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

Walaupun tanpa Safawi Rasid yang tiada dalam senarai kesebelasan pemain kali ini, kehadiran Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri Md.Fauzi serta ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Razak jadikan bahagian serangan tampak ampuh.

Malahan, sudah ada peminat lihat sebagai gandingan impian jika Akhyar dapat diturunkan bersama Shahrel Fikri serta Sumareh menggempur kubu lawan.

Semua itu sebenarnya hanya lakaran indah di atas kertas kerana belum tentu adunannya menjadi sebati tambahan ini pertama kali Sumareh bersama skuad Harimau Malaya.

Jangan terlalu tekanan tinggi dan biarkan Cheng Hoe melakukan kerja rumah serta putuskan siapa yang terbaik untuk diturunkan.

Pada pengamatan penulis, jangan diketepi begitu sahaja pengalaman pada Zaquan dan Norshahrul yang telah banyak makan garam bermain di pentas antarabangsa.

Cuma yang jadi kebimbangan ialah bahagian tengah yang tampak sedikit lompong tanpa kehadiran perancang kreatif membuka ruang kepada barisan serangan.

Calon paling sesuai ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat tetapi dibimbangi dia sedikit gugup jika bermain di peringkat senior.

Pilihan lain ialah Syamer Kutty Abba namun dengan kurangnya minit bermain di JDT, adakah dia mampu konsisten bermain 90 minit?

Manakala pemain lain seperti Azzizan Nordin, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj hanya lebih sesuai sebagai pemain tengah bertahan.

Biarlah persoalan ini diselesaikan sendiri Cheng Hoe kerana dia mungkin ada perancangan tersendiri dalam lakukan pemilihan kali ini.

Di bahagian pertahanan, tiada isu besar kecuali sekali lagi nama pemain Pahang, Muslim Ahmad terus keciciran walaupun menjadi antara pertahanan paling cemerlang musim ini di pentas Liga Malaysia.

Moga sinar kemenangan mampu dijelmakan dalam dua perlawanan persahabatan ini pada 12 Oktober dengan Sri Lanka sebelum beraksi di Melaka pada 16 Oktober berdepan Kyrgystan sebagai madah pembuka keyakinan menghitung peluang di Piala AFF 2018.