Tamat pasca Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, tidak banyak kalendar untuk skuad ragbi wanita 7 sepasukan negara. Tumpuan lebih terarah kepada skuad lelaki yang terlibat dengan pelbagai latihan dan kejohanan seperti Siri 7 sepasukan Ragbi Asia.

Tanpa disangka-sangka, skuad wanita hadirkan berita gembira buat rakyat Malaysia, setelah ungguli Trofi Ragbi Asia Wanita di Brunei pada Ahad. Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man pada mulanya hanya meletakkan sasaran ke separuh akhir, memandangkan dia terpaksa merombak keseluruhan pasukannya dengan muka baru, setelah barisan negara yang meraih gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu mempunyai komitmen kerja, tidak kurang yang kembali menyambung pengajian.

Kebanyakkan pemain adalah muka-muka yang dipilih dari Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 tempohari, antaranya datang dari Selangor, Sabah dan juga pasukan Kedah. Daripada 12 pemain, hanya Rozliana Mohd Ridhwan sahaja dikekalkan, sekaligus lilitan kapten menjadi miliknya kerana menjadi satu-satunya pemain paling senior dan berpengalaman dalam pasukan.

Aksi yang berlangsung di Kelab Penaga, Brunei menyaksikan Malaysia cemerlang di peringkat kumpulan untuk menang kesemua perlawanan.

Malaysia 12 - 17 Guam
Malaysia 22 - 0 Laos
Malaysia 29 - 0 Indonesia
Malaysia 48 - 0 Brunei

Malaysia terus cipta kejutan dengan menewaskan Uzbekistan 5-0 di peringkat separuh akhir, dan perhitungan dalam pentas final menentang Filipina berlangsung dengan begitu sengit, Anak-anak buah Nik Safuan Ismadee lebih bernafsu untuk merakamkan kejayaan, dan akhirnya kejuaraan milik mereka setelah mengatasi lawan 10-7.

“ Alhamdulillah, kalau apa kita harapkan selama ini hanyalah peringkat separuh akhir, namun ini boleh dianggap bonus kerana mara ke perlawanan akhir dan menang” ujar Nik Safuan Ismade.

Pencapaian ini juga memperbaiki prestasi Malaysia pada 2017 apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga. Menjadi juara dalam saingan ini juga bermakna Malaysia muncul antara 8 negara Asia terbaik sekaligus menempah slot beraksi di saingan tertinggi Siri 7 sepasukan Ragbi Asia 2019.

Lawan yang lebih hebat dan mencabar menanti antaranya Jepun, China, Kazakhstan dan juga Korea Selatan.

“ Untuk perancangan selepas ini boleh disifatkan misi pecah kepala juga, kerana apabila kita beraksi di peringkat tertinggi selepas ini, kita perlukan perancangan dan dana yang lebih bagus. Kebanyakan pemain ini perlukan pendedahan beraksi di luar negara dan perbaiki tahap kecergasan mereka jika benar-benar mahukan berikan cabaran kepada kuasa besar ragbi wanita”

Siapa sangka hanya berbekalkan pemain-pemain bertaraf SUKMA, Malaysia mampu untuk menggengam Asia, siapa tahu suatu hari nanti, misi menggengam dunia pula.