"Ada orang tanya saya sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kenapa tidak berlumba Formula Satu (F1) di Malaysia? Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Malaysia."

Itu pendapat yang dinyatakan juara dunia lima kali, Lewis Hamilton, sewaktu ditanya mengenai aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) walaupun ia tidak lagi berada dalam kalendar saingan berkenaan.

Memenangi perlumbaan di Malaysia lima tahun lalu, Hamilton sedar akan minat tinggi rakyat Malaysia terhadap saingan MotoGP berbanding F1. Malah, dia tidak menolak kemungkinan dia akan kembali berlumba di Sepang, tetapi mungkin mengendalikan jentera MotoGP!

Dalam masa sama, Hamilton juga mengakui Malaysia memiliki tarikan tersendiri seperti makanan dan tempat yang boleh dinikmati peminat F1 sekiranya SIC kembali menganjurkan perlumbaan.

Lebih menarik, roti canai dinamakan sebagai makanan kegemarannya setiap kali datang ke Malaysia sambil mengakui Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) menjadi penarik utama untuk dia sering ke sini.

Hamilton kini menduduki tangga teratas senarai pelumba musim 2019 tatkala saingan berbaki lima perlumbaan, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk meraih kejuaraan keenam dalam karier.

Dia tampak selesa mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas, serta pelumba muda dari Monaco, Charles Leclerc, dan kejayaan mengungguli saingan di Russia minggu ini, menyaksikan Hamilton selangkah hampiri koleksi kejuaraan selepas melakukannya pada 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018.