Gambaran cukup jelas disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi, sebaik menilai keseluruhan laporan atlet dari Program Podium di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini.

Hakikatnya walaupun sasaran sebenar program podium adalah menjelmakan kilauan pingat emas pertama di Olimpik Tokyo 2020, pendekatan drastik segera di ambil sebaik atlet yang diharapkan untuk menjadi colon terbaik penyumbang emas Olimpik masih samar kemampuan mereka.

"Kegagalan mereka yang sepatutnya menjadi penyumbang emas negara di Komanwel menyerlahkan lagi situasi tiada tempat untuk atlet ini meneruskan kontrak mereka bersama Program Podium". Itu tegas Khairi.

Segalanya akan diumumkan Julai depan, mana-mana atlet yang gagal beraksi pada prestasi yang sepatutnya sudah dapat mencongak nasib yang bakal dihadapi mereka andai digugurkan dari Program Podium.

Sukan terjun yang sering menjadi sasaran utama emas negara di Komanwel nampaknya berakhir dengan hanya satu emas sahaja menerusi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10M platform seirama selain dua gangsa dari gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee bagi acara 10M platform seirama dan 3M papan anjal seirama.

Suatu ketika dulu, skuad badminton negara juga tidak berhadapan masalah besar untuk kutip emas di Sukan Komanwel namun situasi dalam 2018 cukup berbeza.

Berbasikal trek yang cukup popular dalam kalangan peminat sukan negara sebagai sukan yang mampu sumbang emas di Komanwel sekadar pulang dengan tangan kosong.

Rentetan daripada situasi itu turut menyumbang kepada pengguguran atlet berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa, dari kontinjen Sukan Asia 2018 oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) baru-baru ini yang turut membawa maksud tiada lagi tempat untuk Fatehah dalam Program Podium.

Bagaimanapun, tiga atlet olahraga negara, Irfan Shamsuddin, Hakimi Ismail dan Nauraj Singh masih diberi peluang namun bersyarat.

Hanya kilauan pingat di Sukan Asia 2018 sahaja yang mampu menyelamatkan ketiga-tiga atlet olahraga ini daripada digugurkan dalam Program Podium.