Selepas gagal mencipta impak dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, 4-15 April lalu, atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, kini meletakkan keutamaannya pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang 18 Ogos-2 September ini.

Atlet berusia 27 tahun itu akur harus bekerja keras supaya dapat melakukan lompatan menghampiri 17m jika mahu menjadi antara pencabar utama dalam temasya itu kerana kebanyakan atlet boleh melakukan lompatan sekitar 16.70 hingga 16.80m.

Antara yang dijangka menjadi pencabar utamanya ialah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Dong Bin dari China, yang melakukan lompatan sejauh 17.58m di Rio dua tahun lalu.

Dalam usaha mencapai misi itu, Muhammad Hakimi, yang juga merupakan pemegang rekod Sukan SEA dan kebangsaan selepas mencatatkan 16.77m dalam temasya Kuala Lumpur 2017, sedang merancang untuk menjalani persiapan di Eropah untuk berada pada tahap kesediaan terbaik.

“Fokus utama saya selepas ini ialah mencatatkan lompatan terbaik dalam Sukan Asia manakala semua kejohanan lain sebelum itu adalah sebagai persiapan dan untuk menilai tahap diri sendiri berbanding pesaing lain.

"Saya bercadang untuk ke Eropah dan mungkin tinggal di London kerana saya rasa kejohanan di sana (Eropah) lebih berprestij, wujud persaingan sengit dan penganjuran kejohanan juga lebih baik.

“Kalau pergi, mungkin pergi pada akhir Mei sehingga awal Julai. Bagaimanapun, saya terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan daripada Program Podium untuk latihan di Eropah,” katanya kepada pemberita.

Apabila ditanya mengenai sasaran pingat, pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu berkata dia tidak mahu terlalu memikirkannya kerana ia boleh menyebabkannya hilang fokus tetapi lebih memberi tumpuan untuk mempamerkan peningkatan dalam prestasi.

Untuk rekod, Muhammad Hakimi mara ke final acara lompat kijang di Gold Coast selepas meraih tempat keempat dengan mencatatkan 16.36m dalam pusingan kelayakan B, namun sekadar menduduki tempat kesembilan dengan catatan 15.97m dalam tiga percubaan awal dalam final.