Ada yang masih bingung memikirkan,sebilangan besar sudah menjangkakan malah ada yang masih berdiri teguh dibelakang Harimau Malaya.

Begitu besar harapan diletakkan di atas bahu Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini berupaya bawa perubahan selepas mengambil alih tugas Dollah Salleh sebagai pengendali Harimau Malaya.

Kalau sebelum ini 6-0 di Bukit Jalil dan kali ini 6-0 Di Amman Jordan apakah individu bernama Jurulatih itu masalah utama Harimau Malaya.

Berdepan negara yang punya limpahan kemudahan seperti UAE kita di belasah,bertembung dengan negara yang dilanda peperangan juga kita dibedil,jadi di mana silapnya?

Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM?saya fikir kesilapan yang mereka lalukan memberi kesan terhadap perkembangan jangka masa panjang bola sepak negara,tetapi bukan mereka yang berada di padang.

Tiada jurulatih yang mahu mengecewakan harapan seluruh rakyat negara,mungkin ada kepincangan dalam taktik atau pemilihan pemain untuk mendukung falsafah itu,juga bukan mereka di padang.

Pemain yang berada di atas padang?kalau berdasarkan logik merekalah yang mengerah kudrat untuk melaksanakan setiap perancangan jurulatih,tetapi saya juga pasti mereka bukan sengaja undang aib.

Mungkin ini soal motivasi,cerita kemahuan, apakah pemain bola sepak profesional negara mengidamkan kejayaan bersama skuad kebangsaan atau lebih kepada kerjaya bersama pasukan kelab atau negeri.

Tidak kira siapa yang silap,generasi pemain bola sepak masa depan perlu disuntik dengan sahsiah untuk menjadi profesional yang lengkap,gemilang di peringkat kelab atau negeri begitu juga bersama skuad negara.

Pernah ada yang terfikir pemain Palestin bermain dengan baik bukan sekadar pada kualiti teknikal tetapi untuk membuktikan mereka juga mampu berjaya dan mahu keluar daripada situasi serba kekurangan?

Terlalu banyak kesilapan dalam bola sepak Malaysia,mujur masih ada pelbagai entiti yang mahu meilhat perubahan tetapi jangan sampai satu ketika,sudah tidak ada lagi yang kisah.