Tidak kira apapun terjadi, pelumba MotoGP negara, Hafiz Syahrin Abdullah, perlu buktikan Litar Antarabangsa Sepang mampu berikan bukan sahaja kutipan mata tetapi juga buka mata semua pihak.

Boleh dikatakan ketika ini tiada satu pun pasukan MotoGP yang sedang memerhatikan Hafizh dengan penuh rasa minat tetapi sebaliknya simpati dengan pelumba Malaysia ini. Sejak tidak lagi bersama Yamaha, Hafizh melalui zaman malap bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3.

Selepas 17 pusingan berlangsung, dia hanya berjaya meraih lapan mata bermula di Le Mans dalam perlumbaan kelima diikuti Assen, Silverstone, San Marino dan terbaru di pusingan ke 17 di Phillips Island, Australia.

Pencapaian terbaik Hafiz ialah di Litar Silverstone dengan meraih tiga mata selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.

Ia menimbulkan kegelisahan dengan Hafizh sudah pun dipinggirkan ketika belum pun kejuaraan musim 2019 melepasi separuh pusingan dengan semua pasukan sudahpun mengumumkan pelumba baru mereka tanpa nama Hafizh Syahrin Abdullah.

Mungkin dalam kes Hafizh, sedikit berbeza apabila Red Bull KTM Tech 3 tidak lagi mahu beraksi dalam kategori MotoGP dan hanya fokus kepada Moto2 dan juga Moto E. Tetapi dengan tiadanya perancangan pasukan
memancing Hafiz termasuk pasukan usahasama milik Malaysia iaitu Petronas Yamaha SRT untuk tahun depan bukti hayat pelumba muda negara ini dalam kategori perdana sampai ke penghujung.

Pengesahan sudahpun diumumkan tentang 3 perkara utama bagaimana hayat pelumba negara ini dalam kalendar kejuaraan motorsikal dunia tahun depan : turun ke Moto2, pasukan kurang dikenali Angel Nieto dan tidak
akan dibayar gaji.

Namun kita sentiasa berharap Hafizh mampu kembali ke MotoGP bagi musim 2021 namun dengan syarat yang ketat. Bagaimanapun kesudian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantunya menerusi 'special fund' yang
diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 19 Oktober lalu amat bermakna buat Hafizh.

Besar harapan kita untuk melihat pelumba kelahiran Ampang, Selangor ini memulakan kempen 'memikat' seawal di Sepang hujung minggu ini tidak kira dengan apa cara sekalipun. Dan ia lebih bemakna dilakukan di tanahair sendiri.

Kita berharap penampilan terakhirnya di atas jentera MotoGP di Sepang ini bukan untuk selama-lamanya tetapi sebagai pencetus kebangkitan untuk dia muncul semula sebagai El Pescao.